TIDAK tahan melihat semakin ramai nama artis ‘dipetik’ kekasih Aliff Aziz, pelakon Iqram Dinzly tampil menasihati Sarah Yasmine berhenti menyebarkan aib orang lain.
Iqram atau nama sebenarnya Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 42, berkata, individu yang tiada kena mengena dalam konflik rumah tangga Aliff dan isterinya Bella tidak wajar diheret sama.
Saya rasa awak kena fokus dengan agenda utama awak iaitu mengenai Aliff Aziz sebab dia yang buat hal.
“Dia dah diberi peluang tetapi dia sendiri yang tak hargai. Jadi, tak perlu kot nak plot twist cerita pasal Meerqeen, Anna Jobling dan Sophia Albarakbah mahupun sesiapa lagi selepas ini,” katanya dalam Instagram.
Ujar Iqram, situasi tidak sihat yang dicetuskan wanita asal kota singa itu boleh merosakkan hubungan baik antara dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.
Malah, pelakon filem Evolusi KL Drift itu menyarankan agar sebarang permasalahan dalam perkahwinan dua selebriti terbabit diselesaikan secara baik di mahkamah.
Soal luar dalam rumah tangga Bella dan juga Aliff biarlah mereka uruskan dan selesaikan di mahkamah.
“Kita langsung tiada hak untuk membongkar segala aib rumah tangga mereka.
Malah, setelah akad nikah juga mereka sudah berjanji untuk menutup aib sebaik-baiknya kerana itu adalah dosa besar,” katanya.
Perkongsian disuarakan Iqram meraih perhatian ramai bahkan netizen turut bersetuju dengan pandangan tersebut.
Sebelum ini Sarah yang mendedahkan menjadi kekasih Aliff sejak Januari lalu menegaskan tindakan mendedahkan tangkap layar perbualan antara Aliff dan Ruhainies selepas ditangkap khalwat adalah bagi mempertahankan kekasihnya.
Selepas itu ramai lagi nama lain ‘dipetik’ termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong, Tom, Fuad Rahman, Meerqeen dan terbaru Sophia Albarakbah.
Ketika ‘drama’ serta banyak lagi kisah diselak, Persatuan Seniman Malaysia serta beberapa selebriti tampil mendesak wanita berstatus ibu tunggal itu menghentikan perbuatannya. – HIBGLAM