SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Fendy Bakry dan isterinya, Ayu Afnizar disandingkan dalam majlis resepsi tertutup di Medan, Indonesia, Sabtu lalu.
Ujar Fendy atau Mohd. Affandi Nor Bakri, 35, mereka diraikan serentak dengan dua lagi adik-beradik isteri bagi memenuhi permintaan sanak saudara yang tidak dapat hadir ke majlis pernikahan di Kuala Lumpur pada 2020.
“Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, resepsi kami yang sepatutnya berlangsung di sebelah keluarga mentua terpaksa dibatalkan.
“Ayah mentua saya ambil peluang balik ke kampung halamannya di Medan untuk mengadakan majlis persandingan serentak dengan dua beradik isteri, sekali gus memenuhi permintaan saudara-mara.
“Mereka yang tinggal di Indonesia tidak dapat menghadiri majlis pernikahan kami sebelum ini, jadi resepsi untuk keluarga di sana juga merupakan sesi perkenalan dengan kaum kerabat sebelah isteri,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Fendy, segala persiapan kenduri disempurnakan seluruh ahli keluarga mentua yang dilaksanakan secara gotong-royong atau rewang.
“Memang majlis ini umpama perhimpunan besar semua saudara dekat dan jauh termasuk yang datang dari Jakarta, Padang dan Thailand.
“Walaupun hanya dapat balik selama tiga hari, saya bersyukur berpeluang jumpa dan mengenali semua keluarga mentua yang hadir dalam majlis itu.
“Peluang sebegini menyeronokkan tambahan pula dapat duduk di pelamin semula selepas empat tahun bernikah, memori yang sangat manis,” ujarnya.
Pada acara itu, Fendy dan Ayu menggayakan sepasang persalinan pengantin Jawa yang juga mengikut adat masyarakat setempat.
Menurut pelakon drama Mr Grey itu, dia dan isteri terpaksa pulang ke Malaysia lebih awal berikutan komitmen kerja.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 12 episod yang berjudul Terjerat dan bakal ditayangkan di platform IQIYI dalam masa terdekat,” ujarnya.
Fendy dan Ayu disatukan dalam majlis pernikahan tertutup di Shah Alam, Selangor pada 30 Ogos 2020 selepas empat tahun berkenalan. –HIBGLAM