‘PERANG’ antara pelakon Ruhainies dan kekasih Aliff Aziz memasuki fasa baharu apabila mereka kini menggunakan taktik psikologi atau perang saraf apabila saling ejek mengejek.
Selepas Ruhainies atau nama lengkapnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, menyindir dengan memuat naik hantaran tonik rambut ‘kejung’, Sarah tampil membidas kenyataan tersebut.
Secara terang-terangan ibu tunggal anak dua itu menempelak dengan menyatakan bersyukur tidak melalui keadaan mata sembab selain mempunyai kulit bersih semula jadi.
Bahkan dia juga menegaskan tidak dibela atau mempunyai ‘sugar daddy’ serta tidak menggunakan duit kekasih.
“Rambut kejung boleh buat rawatan terus dah okey. Lepas tu, perbuatan awak tu boleh reset ulang semula semua tak? Tambah tak tahu malu saja saya nampak.
“Tabarakallah saya tak ada eyebag, muka saya bersih tak pakai mekap, wajah saya sihat sahaja dan alhamdulillah saya tak pernah ada bapak gula, duit semua hasil kerja keras sendiri dan saya tak pernah minta duit boyfriend,” katanya menerusi Instagram Story.
Dipercayai, hantaran itu dilakukan susulan tindakan Ruhainies meminta warganet mencadangkan produk terbaik yang mampu mengurangkan masalah rambut keras atau ‘kejung’ dan rambut gugur.
Perkara terbabit dikongsikan Ruhainies menerusi aplikasi ‘Ask Me Questions’ menerusi Instagram Storynya, semalam.
Menerusi beberapa paparan dalam aplikasi seterusnya, pelakon drama Sayang Tak Dikenang itu berkongsi pula jawapan pengikutnya.
Secara sinis Ruhainies menyatakan produk diminta bukan untuk dirinya tetapi dia ingin memberi hadiah kepada orang lain.
“Syampu, tonik rambut, serum. Ia organik berasaskan kelapa,” tulis netizen.
Kemelut perseteruan antara mereka tercetus beberapa minggu selepas Ruhainies ditangkap khalwat dengan suami penyanyi dan pelakon Bella Astillah.
Berjuang agar kekasihnya tidak dikecam bersendirian selain menghalang komplot menjatuhkan Bella yang didakwa dirancang Ruhainies, pendedahan Sarah turut mengheret selebriti lain sehingga mencetuskan kekecohan.
Berikutan situasi yang dilihat semakin tidak terkawal, Persatuan Seniman Malaysia meminta wanita asal Singapura itu menghentikan tindakannya serta menasihatkan kesemua artis yang terpalit kontroversi itu membuat laporan polis. – HIBGLAM