“DRAMANYA, Covid je pun bukan kanser.”
Demikian antara komen netizen yang membuatkan hati pelakon Fasha Sandha terguris selepas dia sekeluarga dijangkiti virus Covid-19 sekali gus membantutkan perancangan beraya mereka.
Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 40, berkata, Covid-19 berisiko mengakibatkan kematian terutama buat mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik.
“Covid memang boleh sembuh, tapi boleh juga membawa maut bagi orang yang berisiko tinggi.
“Sebab itu saya sangat beremosi apabila disahkan positif virus tersebut.
“Mungkin tahun depan saya saya memilih untuk tidak beraya di kampung mana-mana lagi bagi mengelakkan perkara-perkara begini terjadi,” katanya menerusi untaian hantaran dalam Instagram.
Disebabkan komen netizen yang menuduhnya berdrama walaupun hanya dijangkiti Covid-19, Fasha berkata, bukan virus itu yang membuatkan dirinya berasa sakit ketika ini namun kata-kata peminat.
“Saya tak nak sebarkan virus terutama kepada budak-budak.
“Sekarang ini sakit akibat Covid 10 peratus sahaja. Sakit sebab hati terguris 90 peratus,” coret pelakon filem Anak Halal itu lagi.
Hasrat pelakon Fasha Sandha untuk menyambut raya di kampung halamannya, Perlis terbantut selepas dijangkiti Covid-19 pada hari raya kedua.
Fasha berkata, hatinya hancur apabila melihat keputusan kit ujian kendiri Covid-19 miliknya selepas mengalami simptom selesema sejak hari raya pertama di kampung belah suaminya, Aidil Aziz di Rembau, Negeri Sembilan.
“Hati siapa yang tidak hancur, ingatkan selesema biasa dan rasa tawar setiap kali makan,” katanya. -HIBGLAM