SERIK mempercayai kata-kata pelakon Ruhainies, kekasih gelap penyanyi Aliff Aziz, Sarah Yasmine enggan menerima permohonan maaf ‘seterunya’ itu meski selebriti sensasi terbabit sudah mengakui kekhilafannya secara terbuka.
Tegas Sarah, peluang untuk bercakap jujur sudah diberikan tetapi tidak digunakan sebaiknya oleh Ruhainies sehingga membuatkan dia tawar hati untuk berdamai buat masa ini.
“Saya sekat awak dalam Whatsapp kerana enggan lagi bercakap dengan awak. Jadi, ambil maklum.
Saya beri awak peluang untuk jujur dengan saya tetapi kali kedua awak tipu saya. Apa yang buat awak fikir saya akan percaya dengan kata-kata awak sekarang?
“Jadi, kenyataan umum saya terhadap permohonan maaf awak secara terbuka adalah masih tidak diterima. Terima kasih, assalamualaikum,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam hantaran sama, Sarah turut menunjukkan tangkap layar mesej langsung (DM) daripada Ruhainies awal pagi tadi yang berhasrat ingin berjumpa bagi menjernihkan keadaan.
“Jom jumpa. Sejujurnya, saya rasa kita patut hentikan kekacauan yang terjadi. Ayuh bergembira dan berlaku jujur terhadap masing-masing.
Awak, Bella dan saya perlu duduk dan berbincang bagaimana untuk tamatkan segalanya. Saya bersedia untuk berjumpa semua orang.
“Kita patut bergembira dan mulakan hidup baru. Insya-allah,” ujar Ruhainies yang ingin menyelesaikan semua permasalahan.
Bagaimanapun, Sarah akui sangat mengenali sikap Aliff dan mendakwa semua perbualan tersebut ditulis oleh kekasihnya yang dikenali sejak Januari lalu.
“Awak perlu tahu bahawa saya sangat mengenali Aliff, lebih daripada awak mengenalinya.
Untuk itu, ini penulisan dia kan? Bahasa Inggeris awak juga teruk. Hentikan cubaan memperbodoh saya, sejujurnya semua ini sangat memenatkan.
“Dia boleh mesej saya secara peribadi sekiranya dia mahu sebelum ini kerana saya baru sahaja menyekat dia (Aliff) dan juga awak,” jelasnya lagi.
Awal pagi tadi, pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Fareha Zainul Ilyas, 32, meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan isteri kepada Aliff dan Sarah Yasmine bagi menyelesaikan kekecohan yang terjadi selain memohon maaf secara terbuka.
Sedar kekhilafan diri, Ruhainies bertindak memohon maaf kepada semua yang terlibat dan yang terkesan dalam isu terbabit. – HIBGLAM