[VIDEO] Saya sangat gembira menikmati momen bersama seseorang – Maya Karin

PELAKON Maya Karin mengakui jejaka Perancis yang pernah dikaitkan dengannya pada tahun lalu sebagai lelaki paling istimewa di hatinya ketika ini.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 45, berkata, hubungan mereka masih berjalan lancar biarpun adakalanya tidak dapat selalu bertemu dek kesibukkan kerja.

“Hubungan saya dengan lelaki itu masih berterusan dan masih lagi (paling istimewa).

“Kadang-kadang kami tidak berjumpa dalam tempoh masa yang lama iaitu sekitar tiga minggu begitu kerana masing-masing juga sibuk dengan kerja,” jelas Maya.

Realistik dengan komitmen dan usia yang tidak lagi muda, Maya terbuka jika lelaki itu datang bertemu dengannya sewaktu di lokasi penggambaran.

“Saya cuba menjadi seorang yang realistik. Kalau nak berjumpa, mungkin dia boleh datang ke lokasi penggambaran sebab dia suka tengok saya bekerja,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis buka puasa dan sidang media. pelancaran filem The Experts di sini, semalam.

Bintang filem Munafik itu juga mengakui tidak menyangka apabila hubungan yang pada mulanya dianggap sekadar tidak serius itu mampu bertahan sehingga hari ini.

“Saya pun agak terkejut apabila hubungan kami ini boleh kekal lama sehingga kini. Jangkaan saya hanya dua tiga bulan sahaja kemudian reda dan pasrah.

“Namun sedar tidak sedar, hubungan kami sudah masuk tempoh dua tahun, lama juga.

“Tipu kalau tiada pasang surutnya dalam hubungan tetapi kini kami saling memahami,” ujarnya.

Hampir 14 tahun hidup solo, Maya tidak menolak dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir jika diberi kesempatan untuk kembali bergelar isteri sekali lagi.

“Saya terbuka untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi dan saya sangat gembira dan menikmati momen bersama seseorang.

“Cuma saya percaya dengan ketentuan Allah, terserah kepada perancangan-Nya,” ujarnya lagi.

Sekitar tahun 2022, Maya pernah mendedahkan sedang mengenali seseorang yang dikatakan lelaki paling rapat dengannya dan masih dalam tempoh mengenal hati budi.

Sebelum ini perkahwinan Maya dengan Muhammad Ali Abdullah hanya bertahan selama dua tahun apabila mereka bercerai pada 16 Julai 2010. – HIBGLAM.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok