SELEPAS Tanpa Rela (2020), penyanyi Misha Omar sanggup menunggu empat tahun memilih karya terbaik sehingga akhirnya merealisasikan buah tangan terbaharu berjudul Masihkah Ada Rasa Itu? demi kepuasan peribadi.
Lebih istimewa, penghasilan single berkenaan menyaksikan Misha kembali bergabung semula dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena bersama-sama menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.
Baginya, kelebihan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan dan pasukan mantap turut memainkan peranan penting.
“Sebagai penyanyi yang sudah lama dalam industri, peminat maklum kekuatan dan kekurangan saya, jadi saya mencari sebuah karya yang dapat menyerlahkan lagi kematangan.
Sepanjang empat tahun, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain bagi disesuaikan selera peminat masa kini.
“Bertitik tolak dari situlah terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu? yang juga bingkisan bersama insan-insan hebat,” katanya yang teruja menyuntik nuansa baharu dalam seleksi tersebut.
Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon serta dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, berusaha menunjukkan gaya penyampaian berbeza tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.
Namun, penghibur berusia 42 tahun itu mengakui Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri yang memberikan cabaran baharu.
Sebagai pelengkap, Misha mendedahkan, dia perlu bijak bermain dengan perasaan bagi mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan dendangan tersebut.
“Saya dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat dengan emosi tetapi Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya.
Secara tidak langsung, saya perlu mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu ini agar tidak kedengaran terlalu larut dilambung perasaan.
“Lagu ini juga membawa pendengar mengenang memori silam yang belum dilepaskan sepenuhnya. Apa pun saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” ujar penerima tiga trofi Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).
Mengenai kolaborasi terbaharu bersama Sharon yang diharap mengulangi pencapaian cemerlang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.
Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya.
Saya realistik dan sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan pelbagai faktor, namun secara peribadi sentuhan Sharon mampu menyentuh hati sesiapa yang mendengar ciptaannya,” katanya.
“Cuma saya seperti dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi,” ujarnya. – HIBGLAM