[VIDEO] Fighter bukan Top Gun tapi ‘Bottom Gun!’

MELIHAT posternya sahaja sudah dapat ditebak bahawa filem terbaharu Bollywood berjudul Fighter arahan Siddharth Anand menciplak idea daripada naskhah Hollywood, Top Gun

Mungkin apa yang diusahakan adalah untuk membuktikan bahawa Bollywood juga mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Hollywood yang sentiasa menjadi penanda atas dalam dunia perfileman. 

Bukan itu sahaja, permulaan filem Fighter sahaja sudah membuatkan penulis menggelengkan kepala apabila memberi gambaran Islam dikaitkan dengan keganasan. 

Satu sentimen yang sentiasa berlegar terutama di India yang terkenal dengan ideologi Islamophobia disebabkan sejarah dengan itu dengan negara tetangga seperti Pakistan. 

Tiru bulat-bulat

Itu apa yang turn off tentang Fighter selain sudah terang lagi bersuluh satu percubaan untuk meniru hasil kerja Hollywood. Entah apa yang masih dibuktikan,  namun kalau dibandingkan memang umpama langit dan bumi. 

Terjemahan kehebatan Tentera Udara India dalam Fighter terasa bagaikan banyak kelompongan.

Dari segi naratif juga tidak banyak yang boleh dibanggakan. Apa yang dipaparkan dalam Fighter sudah boleh dijangka.

Misalnya, siapa rakan baik atau sahabat kepada watak utama dimainkan Hrithik Roshan sebagai Squadron Leader Shamsher ‘Patty’ Pathania aka Shammi. 

Siapa love interest (kekasih) Shammi dan apa konflik yang dialami karakter itu, semuanya umpama sudah boleh ditilik sedari awal cerita hinggalah ke penamat kisah.

Dari segi aksi dan kesan khas, filem yang turut dibintangi Karan Singh Grover dan Akshay Oberoi itu masih ketinggalan jauh andai dibandingkan dengan kualiti yang dicernakan Hollywood. 

Terjemahan kehebatan Tentera Udara India terasa bagaikan banyak kelompongan. Barangkali kerana, Top Gun sudah meletakkan piawaian yang sukar untuk ditandingi. Mana-mana industri yang cuba melangkaui kehebatan filem terbabit hanya berstatus picisan. 

Kenapa Hritik?

Mendalami terjemahan karakter, nampak sangat yang Hritik cuba ‘menjadi’ Tom Cruise dan watak-watak lain juga menjadikan karakter dalam filem tersebut sebagai blue print atau cetakan biru. Memang tiru bulat-bulat. 

HRITIK ROSHAN sebagai Shammi dilihat terlalu mencuba menjadi Tom Cruise.

Penulis secara peribadi sehingga sekarang masih tertanya-tanya mengapa pelakon sehebat Hritik, Deepika dan Anil Kapoor bersetuju untuk terlibat dalam Fighter

Hal ini kerana, apa yang dipaparkan barangkali adalah satu kesilapan dalam rekod porfolio kerjaya masing-masing. 

Sudahlah filem menciplak bulat-bulat karya sedia ada, mesej yang dipaparkan pula ‘menggoncang’ sentimen yang tidak sepatutnya disentuh iaitu berkaitan Islam serta ketegangan hubungan India dan Pakistan. 

Apa pun, jika disimpulkan dalam bentuk kenyataan, Fighter bukanlah sehebat Top Gun tetapi Bottom Gun yang berlalu seperti angin dan tidak langsung meninggalkan dampak meskipun berstatus filem blockbuster.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok