“TAK usah ribut. Kami tetap kawan untuk kebaikan anak-anak dan tidak lebih dari itu.”
Demikian penegasan bekas suami pelakon Yasmin Hani iaitu Sha’arin Razali apabila dilihat bercuti di Bali, Indonesia bersama-sama sebagai satu keluarga harmoni.
Kata abang kepada pelakon Qi Razali itu, percutian tersebut direalisasikan demi memenuhi permintaan anak-anak selain menjadi ibu bapa terbaik buat kedua-dua anak lelakinya.
“Kami pergi bercuti sebagai satu keluarga kerana anak-anak sudah lama mengajukan soalan tentang ini.
“Kami akan tetap menjadi ibu bapa kepada Eissa dan Noah dan tidak akan berubah. Jadi, itu bermaksud kami harus memastikan hubungan baik antara kami,” ujarnya.
Dalam masa sama, bekas pemain dram kumpulan Black Rose itu turut menjaga batas pergaulan bersama Yasmin yang kini menjalinkan cinta dengan pelakon Alif Hadi.
“Tambahan pula, saya hormat Hani yang sudah berpunya dan saya tetap akan membujang,” jelasnya lagi.
Menjengah ruangan komen, rakan selebriti memuji tindakan Sha’arin dan Yasmin yang boleh mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan permata hati mereka.
“Tak semua orang boleh ada hubungan seperti awak berdua. Alhamdulillah,” kata Dynaz Mokhtar.
“Ini merupakan hubungan matang. Tahniah buat anda berdua,” ujar Catriona Ross.
Selain itu, ramai juga tidak putus-putus memuji sikap profesional Sha’arin dan Yasmin walaupun sudah bercerai sejak tiga tahun lalu.
Dalam hantaran Instagram tersebut, Sha’arin turut buat pautan (tag) ke akaun Yasmin dan bergambar bersama-sama dalam satu potret.
Sekitar awal November 2021, keretakan rumah tangga pasangan itu dapat dihidu selepas Yasmin memuat naik hantaran memberi bayangan badai yang melanda perkahwinan mereka.
Pemilik nama lengkap Yasmin Hani Ismail Richardson dan Sha’arin berkahwin pada 2011 dan dikurniakan Noah Ismail Wong, 8, dan Eissa Elzander Wong, 5. – HIBGLAM