SIAPA sangka di sebalik sikap optimis dan ceria yang ditampilkan dalam laman sosial, penyanyi Raffa Affar pernah menitiskan air mata berdepan kecaman melampau netizen.
Lebih teruk lagi, penyanyi yang memulakan kerjaya muzik menerusi YouTube dengan lagu-lagu saduran itu pernah menutup akaun media sosialnya disebabkan tekanan sekeliling.
Katanya, situasi tersebut tercetus ketika lagu ciptaan komposer, Datuk M. Nasir, Tiara yang dirakamkan semula meraih kutukan netizen yang tidak menyenangi lenggok nyanyiannya.
Hampir dua tahun berlalu, momen tersebut bagaimanapun masih terpahat kukuh dalam ingatan apabila pentaksub turut melemparkan kecaman terhadap ibu bapanya.
Hidup ini keras. Saya sedar bukan mudah untuk mengorak langkah dalam industri serba mencabar ini, lebih-lebih lagi kita membawakan semula lagu penyanyi lain yang sudah tentu mempunyai peminat tegar.
“Ketika lagu Tiara meledak, selain pujian saya turut berdepan kecaman terutama dicop sebagai perosak lagu.Banyak kutukan dilemparkan termasuk mengaitkan ahli keluarga.
“Saya bukan jenis hati tisu, tetapi disebabkan kutukan keterlaluan, air mata saya tumpah juga. Saya tutup media sosial beberapa hari,” katanya ketika ditemui pada sebuah acara Tangerang, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Enggan membiarkan aura negatif mengganggu perjalanan karier, pemilik nama lengkap Rafa Aldiansyah, 22, itu bangkit semula apatah lagi turut menerima nasihat M. Nasir agar fokus terhadap misinya.
“Sebenarnya saya pernah bertemu dengan komposer dihormati ramai itu ketika kunjungan ke Kuala Lumpur sekitar tahun lalu.
Orangnya serius tetapi masih boleh dibawa bergurau. Beliau beri nasihat supaya jalan terus, jangan ‘dimakan’ kata-kata negatif yang membuatkan saya kekal bersemangat.
“Selepas Tiara, sudah tentu saya simpan impian merakamkan lagi lagu sentuhan komposer genius ini, apatah lagi beliau membuktikan keampuhan menerusi lagu Isabella yang terus menjadi siulan generasi kini,” ujarnya.
Berkongsi perincian tentang kecaman yang diterima, Raffa turut berdepan kemarahan segelintir pemerhati muzik Indonesia dan Malaysia yang menyifatkan nyanyiannya merosakkan lagu rock nyanyian asal kumpulan Kris tersebut.
Mereka yang mengkritik dalam media sosial sama ada peminat Indonesia mahupun Malaysia marah kerana cara penyampaian saya yang melankolik.
“Bagi saya dan syarikat rakaman, itulah kelainan dalam berkarya selain sudah dapat lampu hijau M. Nasir, jadi itulah keunikannya,” luahnya lagi.
Pelantun lagu Cinta Sampai Mati itu juga menepis dakwaan sekadar penyanyi ‘one hit wonder’ atau popular dengan satu lagu saja seperti dilayangkan beberapa individu dalam laman sosial.
Menurut Raffa, dakwaan tersebut langsung tidak menjadi kudis, malah dilihat dari sudut positif, terutama dengan sokongan padu syarikat rakaman, Dua Suara Media dan isteri tercinta yang diperkenalkan sebagai Uci, 22.
“Saya bersyukur pasukan Dua Suara Media tidak pernah lelah atau kering idea mengatur perjalanan karier saya.
Kini saya tampil bersama single berjudul Tundukkan Pandangan yang sudah ditonton 10 juta kali dalam tempoh dua bulan.
“Sempena Ramadan dan Syawal pula saya bersama barisan artis Dua Suara Media lain muncul dengan lagu raya berjudul Lebaran yang kini rancak berkumandang di radio.
“Dalam situasi sukar kita kena berada dalam kelompok positif bagi mendapatkan aura segar. Itu paling penting,” ujarnya lagi.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM