AKHIRNYA membuka mulut, pelakon Ruhainies mengesahkan dia dan Aliff Aziz diserbu oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis Diraja Malaysia di kediamannya di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Ruhainies, 31, dalam satu kenyataan berkata, keberadaan Aliff Aziz di dalam rumahnya adalah bertujuan untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang dikenali aktor itu sejak 10 tahun lalu.
Ujarnya, kakaknya, Risteena Munim juga antara individu yang menjadi saksi kerana berada di lokasi ketika tangkapan khalwat tersebut berlaku.
“Pada hari tersebut, adik beradik saya merancang untuk tidur di rumah pada malam itu. Memandangkan Aliff juga baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput dia kerana dia juga mengenali keluarga saya sejak 10 tahun lalu.
“Aliff juga bersetuju sebab dah lama tak berjumpa dengan mereka. Risteena pula maklumkan dia dalam perjalanan ke rumah namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan penggambaran sebelum saya dan Aliff sempat berborak sementara menunggu namun tidak lama kemudian, pintu rumah saya diketuk.
“Saya sangka itu adalah Risteena tetapi apabila mendengar suara lelaki, semestinya saya takut untuk membuka pintu atas faktor keselamatan.
“Kemudian, saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu. Apabila dia sampai, dia sahkan itu adalah Jawi dan polis,” katanya.
Tambah Ruhanies, Risteena juga maklumkan bahawa isteri Aliff iaitu Bella Astillah dan pihak media turut berada di depan pintu.
“Jadi, atas faktor keselamatan dan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak saya meminta supaya saya tidak membuka pintu dahulu.
“Setelah berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.
“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku tetapi hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja. Setelah selesai, saya pulang ke rumah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui kekhilafannya di sisi agama, kerana berada dalam situasi tersebut sekaligus menimbulkan syak wasangka negatif yang sepatutnya dapat dielakkan.
“Walaupun Risteena hadir, saya mengakui kekhilafan saya di sisi agama, kerana berada dalam situasi itu yang mana sekaligus menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dapat dielakkan.
“Siasatan telah dijalankan oleh pihak Jawi dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Jawi di atas kerjasama, penjagaan penuh yang diberikan kepada saya semasa kejadian tersebut berlaku, dan siasatan telus yang telah dibuat oleh pihak Jawi,” ujarnya.
Terdahulu, Bella sudah memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Sebutan kali pertama berlangsung semalam namun kelibat Aliff tidak kelihatan kerana terikat dengan penggambaran.
Sejak minggu lalu, nama Aliff menjadi bualan hangat selepas ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara awal pagi Sabtu lalu.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan dan bakal dibicarakan di mahkamah dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM