SUKA atau tidak, setiap wanita akan melalui kitaran semula jadi, datang bulan pada usia anak gadis sehinggalah penghasilan hormon estrogen dan progesteron terhenti selepas memasuki fasa menopaus.
Peralihan emosi, tenaga dan perubahan fizikal terutama kulit kebiasaannya menjejaskan kualiti hidup kaum Hawa yang sudah berumur melebihi 50-an.
Penyanyi Ella yang bakal meraikan ulang tahun ke 58 pada 1 Julai ini juga mengakui tidak terkecuali berhadapan keadaan alami tersebut.
Biar berlimpah glamor dan sentiasa mahu cantik, berstatus penghibur, pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin itu tidak malu berkongsi pengalaman mencabar yang dialami bagi membuka mata banyak wanita agar tidak bersendirian berdepan gejala premenopaus.
Katanya, emosi tidak stabil serta kurang tenaga kebiasaannya dipandang remeh selain dipendamkan sahaja di dalam hati, namun akhirnya memakan diri sendiri.
“Kita harus peka dengan perubahan diri terutama bagi wanita yang sudah menuju angka usia separuh abad kerana di situlah peralihan tahap kecergasan kita.
“Mungkin secara kasar orang boleh nampak perubahan kita secara fizikal, namun aura dalaman terutama berkaitan emosi perlu kita ambil perhatian.
“Saya tidak malu mendedahkan sudah memasuki fasa premenopaus, bahkan melalui situasi teruk yang membuatkan semuanya serba tak kena,” katanya mengimbas momen beberapa tahun lalu.
Mengakui kini tidak lagi mampu terus mengekalkan momentum lincah ketika beraksi di pentas seperti dahulu, baginya paling utama adalah memastikan emosi dan vokal pada tahap terbaik.
Katanya, keputusan bertemu pakar hormon dikenali sebagai Dr. Haslinda Mat Hassin tiga tahun lalu juga pilihan paling tepat selepas mengambil pandangan suami tercinta, Azhar Ghazali.
Terapi hormon
Justeru, atas pengalaman peribadi, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin menasihati wanita yang akan menginjak usia 50-an untuk membuat persediaan awal.
“Saya akui sekarang ini saya berada dalam fasa pramenopaus dan saya fikir teman seangkatan juga sedang mengalami perkara serupa yang adakalanya mencetuskan rasa kurang selesa.
“Sebagai perkongsian, saya selalu menasihati kawan-kawan mengenai persediaan, namun paling utama masalah membabitkan hormon.
“Selepas melepasi usia 50 atau 55 tahun seseorang wanita itu akan dapat rasa, jadi perlu bersedia untuk melalui fasa ini,” kongsinya lagi yang turut diiktiraf Skyhill Clinic atas komitmen menyebarkan kepentingan kesihatan hormon.
Menurut penyanyi Puteri Kota itu lagi, situasi kurang selesa. Mula disedari pada usianya awal 50-an dengan gejala mudah letih, susah tidur, cepat marah dan berat badan naik mendadak.
Kesedaran mula timbul hanya beberapa tahun kemudian selepas perasan, aksi atas pentas juga turut kurang memuaskan.
Namun paling ketara adalah sikap perengus yang secara tiba-tiba timbul terutama dengan orang terdekat.
“Kesedaran itu datang sendiri kerana pada masa sama saya juga banyak membaca, begitu juga suami yang memberikan input terutama berhubung kesihatan wanita.
“Dia pun nampak perubahan saya. Selepas itu saya ‘ketuk’ klinik pakar dan jalani rawatan yang dikenali sebagai Terapi Hormon Bio Identik sejak tiga tahun lalu.
“Waktu itu bukan saja berat badan bertambah sehingga 10 kilogram (kg) yang memberi kesan kepada emosi, malah tekanan darah juga tinggi sampai doktor kata boleh panggil ambulan,” kongsinya.
Naik 10kg
Tambah Ella, selepas menjalani rawatan, dia mendapati keadaan emosi yang tidak menentu berpunca daripada ketidak seimbangan hormon, sekali gus memberi impak terhadap mental dan fizikalnya.
“Saya mahu berkongsi kebaikan dan manfaat penjagaan dan rawatan hormon dengan rakan-rakan selebriti serta peminat di luar sana.
“Kini berkat konsistensi dalam mengikuti nasihat pakar berserta rawatan, berat badan saya berkurangan seolah-olah kembali ke usia 30-an.
“Lebih penting apabila tekanan darah kembali normal, kalau tidak mungkin sekarang saya kena ambil pil darah tinggi atau sekadar terbaring di rumah malas untuk mengadakan persembahan,” luah ibu kepada seorang anak angkat itu.
Pada masa sama, penghibur kesayangan ramai itu turut menasihati wanita yang mempunyai masalah sama agar segera mendapatkan rawatan.
“Tidak dinafikan, perkara ini juga boleh mendatangkan kebimbangan kepada wanita kerana ada kalangan mereka yang berusia pertengahan 40-an sudah mengalaminya.
“Ini bukan promosi kosong kerana saya sudah merasakan kesannya.
“Rawatan alami itu turut membolehkan sakit semasa haid dapat dikurangkan selain hormon seimbang dapat melancarkan kitaran haid ,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Skyhill Clinic, Ella bersyukur diiktiraf atas penglibatan, konsistensi serta komitmen berkongsi kepentingan hormon kepada umum.
Bersandarkan penghargaan yang raih, Ella menerima pakej rawatan kesihatan hormon bernilai RM300,000 bagi tempoh setahun. – HIBGLAM