ISTERI kepada penerbit Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Patimah Ismail bersyukur apabila kesihatannya bertambah baik sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.
Menurut Patimah, dia juga tidak lagi ‘berkurung’ di rumah dan mampu untuk mengikuti suaminya menghadiri undangan ke beberapa majlis berbanding tahun lalu.
“Alhamdulillah, tahun ini saya lebih sihat. Boleh hadir banyak acara dengan suami.
“Tahun lepas saya memang berkurung di rumah selepas semua perkara yang berlaku (isu keluarga) namun syukur tahun ini saya gembira balik,” katanya yang ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2024 di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, berkongsi persiapan sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini, Patimah berkata, rumahnya akan meriah dengan kehadiran menantu, anak dan cucu-cucunya.
Cucu-cucu selalu balik. Anak-anak Syamsul iaitu Syaikhul dan Sumayyah, selalu pulang ke rumah saya.
“Setiap minggu cuti sekolah mereka datang. Begitu juga Puteri Sarah,” ujarnya.
Sementara itu, Yusof pula berkata, dia berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat keluarganya dan menyifatkan kemelut yang berlaku sebelum ini sebagai satu ujian.
Semoga sambutan raya tahun ini berjalan dengan baik. Apa pun semangat juang kena kuat.
“Perjuangan dalam kehidupan kena teruskan selagi kita sihat. Segala yang baik datang daripada Allah SWT dan segala kekurangan datang daripada kita,” katanya lagi.
Sebelum ini, Patimah tidak pernah berhenti mendoakan dan memberi sokongan Puteri Sarah meskipun wanita itu sudah bercerai dengan Syamsul bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 14 Jun tahun lalu selepas sembilan tahun berkahwin.
Sementara, kemelut keluarga mereka semakin kusut apabila Syamsul pula sebelum ini membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kaza sekitar Januari lalu di Thailand.
Sejak bernikah, masih tiada lagi pertemuan antara Ira dan keluarga Yusof selain Syamsul juga dikatakan sudah lama tidak pulang ke kediaman ibu bapanya. – HIBGLAM