Netizen ‘restu’ Raf Yaakob, Amira Othman

“Pertama kali saya berjumpa dengannya adalah dalam sebuah majlis.”

Demikian perkongsian bekas suami pelakon Mawar Rashid, Raf Yaakob yang seakan memberi gambaran sedang mengenali hati budi seseorang sehingga mencuri perhatian netizen.

Menerusi hantaran dikongsi pemilik nama lengkap Raden Ahmad Faizal Yaakob, 39, itu, kelihatan foto seorang wanita duduk berhadapan dengannya di sebuah restoran.

Pun begitu, wajah wanita tersebut ditutup dengan emoji lambang hati berwarna putih dengan kapsyen istimewa seolah-olah memberi bayangan hatinya kini dalam fasa bahagia.

“Dalam sebuah majlis saya hanya memerhati dia dari jauh sebelum dia beredar.

Beberapa minggu selepas itu, kami bertemu sekali lagi di sebuah pusat beli-belah. Kami sedang menaiki tangga tapi saya sempat melemparkan senyuman kepadanya.

“Saya rasa senyuman saya dibalasnya. Sejak kejadian itu, wajahnya sering bermain-main dalam Instagram saya. Mungkin kami mempunyai kenalan yang sama,” tulisnya dalam Instagram.

Semakan HibGlam menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen menzahirkan rasa teruja namun dalam masa sama terkejut adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu cepat menemui pengganti.

Seronok jadi lelaki. Cepat betul ‘move on’,” kata seorang pengikutnya.

“Dah nak kahwin ke? Cepatnya dapat pengganti,” kata seorang lagi netizen.

Dalam satu hantaran berbeza pula, teka-teki tentang wanita misteri tersebut akhirnya terjawab apabila dia rupa-rupanya penyanyi Amira Othman

Difahamkan, Amira dan Raf terlibat dalam sebuah iklan mempromosikan produk minuman, namun kemesraan yang ditunjukkan direstui netizen andai mereka menjadi pasangan kekasih.

“Kalau betul pun, sangat sesuai Raf dan Amira,” kata seorang peminatnya.

Cantik sangat Amira. Rasa sepadan pula dengan Raf. Saya suka!” ujar seorang lagi netizen.

Pada 24 November lalu Raf dan Mawar menoktahkan tanda tanya ramai mengenai pergolakan rumah tangga mereka dengan mengumumkan perceraian.

Situasi itu tercetus susulan mereka sepatutnya hadir ke mahkamah syariah sehari sebelumnya namun kelibat masing-masing tidak kelihatan.

Terdahulu, perubahan Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid yang tidak lagi bertudung selain tindakan memadam gambar Raf membuatkan ramai menebak rumah tangga pasangan itu sedang bergolak.

Raf sah bergelar suami kepada Mawar pada 9 November 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, serta Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Terdahulu, Raf pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok