“TALITA, daddy bangga tengok awak. Cantiknya,” kata Shuib.
Demikian pujian pelawak dan usahawan, Shuib buat anak Dzakira Talita Zahra atau mesra disapa Dekta yang manis bertudung selepas datang bulan.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Shuib dalam Instagram miliknya, kelihatan Talita, 11, memakai hijab sewaktu berbuka puasa bersama keluarga di sebuah restoran.
Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhamad berkata, sebagai bapa dia berasa bangga melihat penampilan anak perempuannya itu sebaik sahaja melangkah ke alam remaja.
Menerusi satu lagi perkongsian, Talita kelihatan cantik mengenakan jubah dan hijab sedondon rona merah ketika menghadiri sebuah majlis iftar bersama adik-beradiknya serta ibu tirinya, Watie.
Perkongsian imej baharu Talita oleh Shuib itu mendapat perhatian pengikutnya dalam Instagram malah ramai memuji penampilan terkini Talita yang tampak manis berhijab.
Netizen turut menitipkan rasa syukur atas perubahan imej Talita dan berharap puteri tunggal Allahyarham Siti Sarah Raisuddin itu sentiasa istiqamah membesar sebagai muslimah sejati.
“Talita sangat ayu dan cantik. Semoga menjadi seorang wanita muslimah sejati,” kata seorang pengguna Instagram.
“Alhamdulillah, Dekta dah pakai tudung. Semoga kekal istiqamah,” kata seorang lagi pengguna Instagram.
“Ya Allah, cantiknya Talita pakai tudung. Manis dan ayu,” kata seorang netizen.
Kelmarin, Shuib, 40, berkongsi video menitiskan air mata apabila anak perempuan kesayangannya itu sudah datang haid.
Dalam video tersebut, Shuib dilihat memeluk Talita sambil mengatakan anaknya itu sudah memasuki alam dewasa dan bakal mengenang peristiwa tersebut buat selama-lamanya.
Dalam hantaran sama, dia turut mendoakan permata hati yang sudah menginjak usia 11 tahun itu menjadi wanita solehah dan hebat dunia akhirat.
Bagaimanapun, tindakan Shuib menghebah-hebahkan tentang situasi datang bulan anak perempuannya itu telah mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak apabila menyifatkan perkara seperti itu tidak perlu dikongsikan dalam media sosial.
Sebilangan besar netizen menasihatkan agar bapa kepada empat cahaya mata itu menyimpan perkara peribadi termasuk hal datang bulan anak gadisnya daripada pengetahuan umum.
Malah, rata-rata menegur keterbukaan Shuib berkongsi kisah ‘datang bulan’ berbanding masyarakat era lalu yang seboleh-bolehnya mahu berahsia. – HIBGLAM