HASIL kerja keras demi memastikan keselesaan anak-anak dan isteri, penyanyi Amir Jahari membeli kereta pertamanya iaitu Perodua Alza.
Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari, 32, berkata, kenderaan tersebut bukan wang kemenangan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), sebaliknya hasil simpanan dan pelaburan sebelum ini.
“Kereta ini bukan dari duit menang AJL38. Orang kata AJL ni ‘turning point’ saya tapi bukan.
“Masa viral kisah saya hidup susah, macam-macam orang kata. Ada yang suruh saya kerja Grab, kerja kilang, kerja 7-11. Jangan buat muzik, jangan malas, jangan memilih kerja, muzik ni tak sesuai untuk saya.
“Orang juga kata saya tak menyimpan. Macam-macam. Walhal semasa video itu viral, hidup saya sudah semakin baik,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Ujar pelantun lagu Hasrat itu lagi, kehidupannya benar-benar berubah selepas bapanya meninggal dunia sekitar dua tahun lalu, sekali gus membuatkannya nekad kembali bermain muzik serta belajar menyimpan dan buat pelaburan.
“‘Turning point’ saya bermula pada tahun bapa saya meninggal dunia. Saya main muzik balik. Saya buat ‘tour’ walaupun tiada modal.
“Banyak saya fikir dan belajar. Saya makin serius menyimpan. Saya mula belajar tentang pelaburan.
“Dipendekkan cerita, alhamdulillah, ini kereta pertama!,” luah Amir penuh gembira.
Paling penting kata penyanyi asal Sarawak itu, perlu ada usaha dan jangan pernah berputus asa dalam kehidupan, carilah apa jua punca untuk mengembalikan semangat yang hilang. – HIBGLAM.