“PAK Jabit, mi kari… kuah laksa.. makan sini.”
Demikian dialog popular yang ditutur watak Yah Kuchai dalam drama arahan sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Bersiri-Siri yang merupakan francais filem blockbuster Kampung Pisang.
Riak wajah bersahaja wanita berambut pendek itu tatkala memesan menu yang dianggap lain daripada lain itu kekal di hati penonton.
Penangan dialog itu juga, Yah Kuchai pernah tular dalam kalangan peminat siri tersebut.
Siapa sangka, menu yang asalnya hanya wujud dalam dialog drama kini boleh dinikmati di restoran milik anak kedua Allahyarham Mamat Khalid.
Restoran Ah Mat Kafe yang terletak di Jalan Che Tak, Ipoh, Perak itu pantas mencuri tumpuan khususnya buat peminat drama atau filem tersebut yang mahu merasai sendiri kombinasi mi kuning yang dihidang bersama kuah asam laksa.

ORANG ramai mengunjungi Ah Mat Kafe sejak ia dibuka lebih setahun lalu.
Seorang pelanggan, Mohd. Shahiran Muhammad yang berkesempatan mencuba menu tersebut ketika berkunjung ke Ipoh berkongsi, dia amat menyukai menu tersebut yang dianggap kena dengan cita rasanya.
Saya sukakan kombinasi menarik antara mi kuning yang dihidang bersama kuah laksa yang pekat dan sedikit masam.
“Rasanya unik dan wajib cuba,” katanya.
Berkongsi kepada K2, pemilik Ah Mat Kafe, Nor Sara Mohamad, 32, berkata, menu unik itu bukanlah diwujudkan semata-mata daripada dialog ikonik drama arahan arwah bapanya yang dipanggil papa itu, tetapi menu itu satu ketika dahulu merupakan satu hidangan yang biasa dimakan kanak-kanak di kantin sekolah.
Menurut papa, menu mi kari kuah laksa ini merupakan makanan yang biasa dipesan di kantin sekolah sekitar tahun 70-an. Zaman itu, kanak-kanak di sekolah akan memesan menu mi kuning yang biasanya dimakan bersama kuah kari, namun kuahnya itu diganti dengan kuah asam laksa,” katanya.

Allahyarham Mamat Khalid meninggalkan legasi hebat dalam penghasilan karya komedi.
Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober 2021 pada usia 58 tahun.
Antara filem popular arahan beliau termasuk Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang dan Rock.
Tambah Nor Sara lagi, ilham mewujudkan kafe itu juga adalah kerana didorong rasa rindu pada arwah bapanya itu yang merupakan seorang individu yang penyayang dan kelakar.
“Ilham mewujudkan restoran ini sejak lebih setahun lalu juga adalah kerana perasaan rindu yang teramat terhadap arwah Papa. Papa orangnya amat suka makan dan cara kami sekeluarga bonding atau menjadi lebih erat adalah menerusi makanan.
“Sejujurnya, saya rindu melihat arwah Papa yang seronok setiap kali dapat makan makanan kegemarannya, dan selalunya makanan paling disukainya itu adalah air tangan ibu kami.
“Saya tahu, ramai peminat Papa juga turut merinduinya dan oleh sebab itu, saya menjadikan Ah Mat Kafe ini sebagai tempat rindu bertamu,” kongsinya.

MI kari kuah laksa merupakan gabungan mi kuning dengan kuah asam laksa.
Ternyata, dialog itu bukan sekadar rekaan atau jenaka semata-mata kerana menu tersebut sebenarnya memang wujud dan menjadi menu paling disukai kanak-kanak sekolah pada 1970-an.
Tambah Nor Sara, selepas memperkenalkan menu itu kepada orang ramai, dia sama sekali tidak menyangka ia mendapat sambutan daripada pengunjung restorannya.
“Syukur apabila menu ini menjadi antara menu paling popular di sini.
“Rata-rata pelanggan dan pengunjung restoran memberitahu mereka terimbau kenangan sewaktu zaman kanak-kanak, apabila makan menu mi kari kuah laksa di sini.
“Padanan kedua-duanya cukup unik dan rasanya memang enak,” tuturnya.
Menyentuh mengenai Ramadan, Nor Sara berkata, menu itu turut dicari orang di restorannya.
“Ramai hendak mencuba. Bulan Ramadan ini, kami buka dari pukul 6 petang sampai 2 pagi, jadi orang boleh makan untuk berbuka, moreh dan early sahur,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari K2 di Kosmo! Online – HIBGLAM