HADIR mewarnai industri seni hiburan sejak 2022 menerusi single sulung sempena Aidilfitri, Gadys Raya, kumpulan yang pada awalnya dianggotai empat jelitawan itu memerlukan masa selama dua tahun untuk kewujudan mereka disedari ramai.
Ketika usia masih hijau, dua daripada empat ahli kemudiannya mengambil keputusan mengundurkan diri. Berbaki dua anggota, Aznie Azmi dan Ayunie Rizal tidak berpatah arang, sebaliknya terus memikul jenama The Gadys tanpa lelah.
Demi mahu terus ‘bernafas’, satu sesi uji bakat secara tertutup diadakan untuk mencari anggota baharu, sebelum adik bongsu The Gadys, Thamiera menyertai keluarga baharunya.
Ketika masih asing dalam kalangan peminat dunia muzik malah mungkin belum pernah mendengar nama The Gadys, kumpulan yang bernaung bawah syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dan Valient Music itu, tiba-tiba menjadi bualan ramai.
Tragedi nyanyian sumbang dan vokal ‘ke laut’ kumpulan yang dianggotai Aznie, 26, Ayunie, 24, dan Thamiera, 21, ketika membuat persembahan secara langsung menerusi saluran TV2 sempena majlis Anugerah KNKV Viral Award 2024, menjadikan nama The Gadys sohor kini (trending) dalam media sosial.
Kecaman itu ‘rahmat’
Bertitik tolak daripada tragedi nyanyian sumbang tersebut, The Gadys mula menjadi ‘bahan’ parodi dalam kalangan orang industri.
Terheret dalam kancah tular, habuannya tiga pucuk muda itu tidak habis-habis diterjang kecaman dan kutukan orang ramai.
Biarpun menjadi episod kelam yang tidak harus dibanggakan, ironinya sedikit sebanyak peristiwa itu menyedarkan orang ramai tentang kewujudan The Gadys.
Bagi ketiga-tiga anggota The Gadys, mereka sedih apabila dikutuk, dicaci dan dikecam atas kesilapan didakwa bukan silap mereka.
“Sedihlah. Siapa yang tidak sedih bila kena kutuk, dicaci dan dikecam.
“Sejujurnya kami bertiga menangis kerana dihina netizen.
“Namun, kami tidak boleh selamanya menangis dan kena bangkit untuk membuktikan bahawa kami sebenarnya layak untuk bergelar penghibur.
“Kami nak buktikan kepada masyarakat, bahawa kami boleh lakukannya.
“Kami anggap kecaman itu sebagai satu rahmat kepada kami juga,” kata Aznie.
Suruh bunuh diri
Kata anggota berkulit hitam manis, Ayunie, mereka sebenarnya tiada masalah dan boleh menerima teguran untuk dijadikan rujukan, asalkan tidak melampaui batas.
Namun, apa yang dikesalkan, kecaman berlarutan sehingga menyentuh aspek fizikal masing-masing (body shaming), termasuk mengejek wajah mereka (face shaming).
Lebih teruk lagi, hanya disebabkan nyanyian sumbang, ada segelintir netizen tanpa belas kasihan menyuruh anggota The Gadys membunuh diri! Semudah itu.
“Ada kecaman mereka sangat melampau apabila mula menyentuh tentang fizikal. Lebih teruk lagi yang meminta kami supaya bunuh diri.
“Sampai begitu sekali kami dibenci. Mana pergi sifat kemanusiaan mereka apabila sanggup berkata begitu? Saya rasa apa yang dikatakan itu sangat melampau.
“Biarpun kami artis baharu, tetapi kami juga manusia yang punya hati dan perasaan.
“Nak hina nyanyian kami, sumpah kami okey sahaja. Tapi bila sudah menyentuh perkara-perkara lain sehingga suruh kami bunuh diri, itu sangat keterlaluan,” kata Aznie.
Celah Thamiera pula, walaupun usia masih lagi muda, dia berpendapat adalah tidak wajar untuk seseorang menyuruh orang lain mengakhiri riwayat, hanya disebabkan tahap nyanyia.
“Mereka pernah terfikir tak, jika orang yang kamu hina itu benar-benar membunuh diri? Netizen tidak tahu bagaimana keadaan kesihatan mental kami.
“Mereka tidak rasa, apa yang kami rasa bila berdepan dengan kecaman dan tohmahan tanpa henti sehingga membuatkan kami menangis.
“Jadi, saranan saya kalau rasa tidak ada perkara baik yang hendak diperkatakan, lebih baik jangan berikan sebarang komen,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.