DEK kerana terlalu merindu, anak bongsu pelakon Hafidz Roshdi, Umar menyuarakan hasrat mahu membeli permainan robot menyerupai bapanya.
Shuhada, 30, ketika ditemui Hibglam berkata, Umar membuat permintaan tersebut kerana terlalu merindui bapanya dan masih terlalu terlalu kecil untuk memahami situasi yang berlaku (perceraian).
“’Ibu, belilah robot abah di Shopee’ itu yang disuarakan Umar kepada saya sebelum ini.
Umar asyik cakap suruh beli roboh abah. Jenuh saya nak cari. Saya tak mahu dia ada perasaan sebegitu sebab bimbang dia rasa kurang kasih sayang.
“Saya mahu anak-anak rasa mereka ada juga abah walaupun tak sama macam orang lain. Sekurang-kurangnya mereka rasa kehadiran seorang abah,” katanya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Tambah Shuhada, Umar juga pernah meminta untuk meminjam bapa daripada sepupunya.
Humairah sekarang sudah jadi seperti saya, tidak kisah dengan semua yang berlaku. Umar pula mungkin belum faham sebab dia masih kecil, jadi apabila dia lihat sepupu-sepupunya ada ayah, dia macam teringin nak ada juga.
“Pernah juga dia pergi kepada sepupu dia dan cakap nak pinjam ayah. Kasihan dan kalau bercakap mengenai anak-anak, saya sensitif sikitlah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shuhada mendedahkan bekas suaminya itu juga culas membayar nafkah dua anak mereka.
Meski bersikap demikian, Shuhada memaklumkan Hafidz baru sahaja menaikkan jumlah bayaran nafkah anak.
“Bayaran nafkah baru naik sikit daripada RM100 kepada RM200 seorang sebulan.
Bukanlah setiap bulan dia bayar secara konsisten, adakalanya dia culas juga. Jadi, sekarang saya perlu usaha untuk tanggung mereka.
“Takkanlah saya nak bergantung dan berharap dengan ibu bapa saya di Perlis sebab mereka pun sudah bersara. Mereka sudah bantu jaga anak sama-sama pun Alhamdulillah,” kongsinya.
Dalam pada itu, dia berkata Hafidz juga ada menghubungi anak-anak selepas sekian lama menyepi.
Semalam baru dia hubungi anak-anak menerusi panggilan video.
“Namun, saya tidak mengetahui secara terperinci mengenai perbualan mereka cuma yang saya tahu, Humairah ada minta sesuatu yang mahal daripada bapanya,” katanya lagi.
Terdahulu, mahkamah telah meluluskan permohonan Shuhada bagi kes penambahan pihak iaitu ibunya, Wan Latipah Yusof sebagai responden kedua bagi tuntutan interim hadanah dan induk hadanah.
Imbas kembali, Hafidz Roshdi, 30, sah bercerai talak satu dengan Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai 2023.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7 dan Umar, 3.
Hafidz kemudian mendirikan rumah tangga kali kedua dengan wanita bernama Athirah Yuhada pada 15 Disember lalu. – HIBGLAM