PENYANYI Aiman Tino secara sarkastik mempersoalkan sikap seorang individu yang masih memandang ringan mengenai dosa terutama membabitkan isu hutang tertunggak.
Pemilik nama lengkap Mohammad Aiman Yusri, 25, itu menyifatkan insan dimaksudkan seolah-olah tidak takut terhadap pembalasan akhirat walaupun maut boleh memanggil bila-bila masa.
Dah ready (sedia) belum? Dosa kau dengan orang dah settle (selesaikan) belum? Hutang kau dengan orang dah settle belum? Hutang kau dengan Tuhan dah settle belum?
“Orang yang kau mengumpat dulu, dah (kau) minta maaf belum? Kau kencing mak bapak kau hidup-hidup, kau dah minta maaf belum?” tulisnya dalam Instagram Story.
Menerusi hantaran sama, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu turut menyertakan gambar liang lahad sebagai tanda sindiran.
Biarpun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, perkongsian berkenaan dipercayai ditujukan kepada individu yang belum melangsaikan hutangnya.
Sekitar akhir tahun lalu Aiman pernah mendedahkan mengenai seorang penganjur acara yang didakwa masih belum melunaskan baki bayaran kerja dilakukannya berjumlah RM10,000.
Menurut penyanyi itu, dia seperti pengemis apabila pertanyaan mengenai baki bayaran persembahan yang dijayakan sejak lebih empat tahun lalu dibiarkan tanpa jawapan.
Bahkan, ujarnya individu terbabit dikatakan cuba mengelak daripada menunaikan tanggungjawab sedangkan hutang tersebut akan dipersoalkan di akhirat kelak. – HIBGLAM