SELEPAS 15 tahun bergelar pelakon, Nazim Othman mengakui mempunyai perancangan untuk menoktahkan kerjaya seninya dan beralih kepada bidang lain.
Enggan mendedahkan punca, Nazim atau nama lengkapnya Nushrul Alif Othman, 40, juga lebih selesa tidak berkongsi mengenai jangkaan waktu pengundurannya.
“Saya memang mahu bersara daripada industri hiburan tanah air tetapi terlalu peribadi untuk saya kongsikan sebabnya.
“Apapun, keputusan saya ini bukanlah berkaitan dengan industri, seperti yang saya katakan, lebih kepada hal privasi.
“Bila tarikh atau waktu saya mahu bersara juga saya tak boleh dedahkan. Tunggu dan lihat sahajalah nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pun begitu, pelakon asal Johor Bahru itu memaklumkan sudah menyatakan hasratnya itu kepada beberapa sutradara terkenal serta kenalan terdekat.
Sebagai persediaan, pelakon drama Super Menantu itu memaklumkan telah menyusun perincian ke arah hala tuju bidang baharu.
“Orang-orang terdekat tahu perancangan saya ini. Saya juga pernah bercakap dengan beberapa pengarah dan menyuarakan hasrat agar dapat berlakon filem sebelum bersara.
“Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah berlakon filem. Semoga impian itu akan tercapai sebelum saya bersara.
“Tentang perancangan masa depan, semua saya sudah sediakan. Saya ada ‘exit plan’ sendiri apa yang hendak dibuat selepas ini. Apa sahaja yang hendak dilakukan saya perlu fikir secara terperinci,” ujarnya.
Nazim berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran drama TV3 Raya Macam Dulu-Dulu sempena sambutan Ramadan dan Syawal, semalam.
Mengulas mengenai perkembangan karier seni, Nazim bakal tampil dalam drama berjudul Wanita Syurga yang bakal bersiaran bermula 15 Mac ini untuk slot Akasia di TV3.
Paling menarik katanya, dalam drama terbabit, dia menggalas watak seorang peguam syarie dan bukanlah karakter antagonis yang sering dimainkan.
Selain Nazim, drama tersebut turut dibintangi pelakon lain seperti Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Marissa Yasmin.
Ikuti HibGlam menerusi Facebook, Instagram, X (Twitter), Treads dan TikTok. Join Channel Telegram untuk informasi dan kisah sensasi tiada sempadan. – HIBGLAM