HADIR ke Anugerah Gempak Most Wanted 2023 (GMWA23) sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran acara pengiktirafan itu, pelakon Anna Jobling tidak menyangka membawa pulang kemenangan utama.
Selain trofi GMWA2023, bintang drama rantaian, Melur Untuk Firdaus itu turut menggondol satu lagi trofi daripada sembilan kategori yang dipertandingkan iaitu Selebriti Digital, selain hadiah khas penaja, Anugerah Drama Rambut Paling Boom Sunsilk.
Kuasa peminat
Tidak hairan populariti diraih artis berusia 23 tahun itu meletakkannya sebagai individu paling berpengaruh dalam laman sosial dengan undian mencecah 1.5 juta daripada 6 juta undian diterima penganjur selama lima minggu.
Menurut pemilik nama lengkap Pemilik nama Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, selain keluarga, nadi yang membolehkannya berada pada tahap sekarang adalah peminat setia.
“Seharusnya penghargaan ini saya kongsikan dengan barisan penyokong yang kuat bersatu memberikan sokongan terhadap kerjaya seni saya.
“Sepanjang lebih enam tahun menceburi industri hiburan, merekalah tunjang kekuatan selain turut memberikan ingatan andai saya lupa diri.
“Bagi anugerah ini, mereka saling bekerjasama selain memberi sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan saya,” katanya ketika ditemui selepas GMWA23 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Anna juga meluahkan rasa syukur apabila naskhah susulan untuk drama fenomena lakonannya, Melur Untuk Firdaus 2 turut dinobatkan sebagai Drama Tergempak meneruskan kejayaan di edisi pertama tahun lalu.
“Semua ini berkat doa semua pihak terutama ibu saya, begitu juga dengan kerjasama berpasukan seperti ditunjukkan produksi Melur Untuk Firdaus 1 dan 2.
“Sudah tentu saya berbangga apabila karya yang saya bintangi juga menjadi pilihan ramai hingga mampu mempertahankan kemenangan yang disandang sebelum ini,” ujarnya.
Ketepikan Siti Nurhaliza
Menerusi kategori Selebriti Digital Tergempak, Anna mengenepikan empat calon berpengaruh lain termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza serta hero Melur Untuk Firdaus, Meerqeen.
Akuinya yang mula menyerlah selepas muncul dalam sitkom Keluarga Bahadon sekitar 2019, paling penting sebagai insan adalah meletakkan ibu di tempat pertama, jaga kelakuan serta jangan menyombong.
“Saya tetap Anna yang dulu, tidak akan berubah seinci pun sikap hanya kerana saya berada dalam arena seni kerana bagi saya lakonan adalah pekerjaan iaitu tempat saya cari makan.
“Sebagai insan, adab serta sikap menghormati individu lain itu sangat utama tidak kira teman sebaya, peminat, keluarga, orang tua malah teman media sendiri.
“Kita takkan ke mana kalau merasakan diri kita lebih bagus atau hebat berbanding orang lain,” katanya.
Sementara itu, Anna yang baru pulang dari Brunei menjayakan sesi jelajah bertemu peminat bakal meneruskan misi ke Singapura dan Indonesia.
Buat masa ini, dia berehat seketika sebelum kembali aktif di set penggambaran selepas sambutan Aidilfitri sekitar April depan.
“Memang ada hajat nak bercuti dengan tidak ambil tawaran berlakon yang panjang sampai raya, tapi tengok juga nanti sebab saya jenis tak sampai hati tolak pelawaan orang.
“Sekarang saya sibuk dengan jelajah dengan peminat dan pertama kali berkunjung ke Brunei, saya teruja dapat jumpa penyokong di sana,” katanya yang terharu didatangi anakanda Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah. – HIBGLAM