PENGACARA dan usahawan Neelofa mengakui kekurangan diri ketika berkongsi pandangannya mengenai isu kekeluargaan dengan seorang pemanggil dalam segmen 3 Pagi Era sehingga menerima kecaman ramai baru-baru ini.
Menurut Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 35, faktor masa yang suntuk juga antara sebab dia tidak berkesempatan untuk mengupas isu berkenaan secara menyeluruh sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pendengar.
“Saya akui kelemahan dan ketidaksempurnaan diri dalam memberi pandangan secara menyeluruh dalam perkongsian tersebut.
“Namun, saya bercakap tentang agama tanpa menyentuh aspek lain seperti kesihatan mental dan juga empati.
“Saya bukanlah ustazah yang layak bercakap tetapi berkongsi sedikit daripada apa yang saya tahu.
“Dalam waktu yang singkat penjelasan itu tidak cukup. Secara spontan itulah reaksi atau jawapan yang boleh saya berikan. Jika ada masa mungkin saya boleh huraikan lebih lagi,” katanya kepada HibGlam pada majlis berbuka puasa serta memperkenal program-program raya Astro di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia juga berpendapat isu melibatkan ibu bapa adalah hal yang besar untuk dibincangkan malah, turut berkata seorang anak seharusnya sentiasa melakukan kebaikan terhadap ibu bapa mereka.
“Cerita mengenai ibu bapa adalah subjek besar dalam al-Quran. Betapa besarnya darjat dan martabat mereka yang diceritakan dalam setiap ayat-ayat al-Quran.
“Secara spontan itulah reaksi atau jawapan yang boleh saya berikan kepada pendengar tersebut.
“Allah sudah berpesan, meskipun ibu bapa melakukan perbuatan syirik, sebagai anak kita tidak harus taat namun perlu berbuat baik tanpa meninggi suara atau bermasam muka. Dalam hidup ini, kita tak boleh memilih ibu bapa sendiri dan perlu terima seadanya,” jelasnya.
Dia juga turut berharap pemanggil berkenaan belajar untuk memaafkan secara perlahan-lahan setiap kesalahan ibu bapanya.
“Sekiranya ibunya datang dengan penuh penyesalan dan sudah bertaubat, carilah sedikit ruang untuk memaafkan tetapi lakukan mengikut kemampuan sendiri.
“Topik tersebut juga agak berat juga untuk diulas tetapi saya tetap berikan pandangan mengikut ilmu sedikit yang saya pernah belajar.
“Saya terima dan ambil kira komen serta pandangan ramai mengenai cara yang sepatutnya saya berikan kepada individu tersebut,” ujarnya.
Neelofa juga menegaskan orang ramai tidak sepatutnya membanding-bandingkan kehidupannya dengan isu yang tular tersebut.
“Tidak adil sekiranya seseorang menjatuhkan hukum terhadap kehidupan individu lain.
“Saya juga hadir daripada latar belakang keluarga yang mempunyai sejarah perceraian. Saya tak pernah kongsi dan tidak semestinya hidup saya baik-baik sahaja namun semuanya dilalui dengan cara yang telah diajar,” katanya lagi.
Terdahulu, nama Neelofa menjadi bualan ramai kerana dianggap tidak mempunyai sifat empati terhadap seorang pemanggil yang terpaksa membesarkan adik-adiknya dalam keadaan serba kekurangan selain dihimpit dengan masalah keluarga.
Ramai yang melihat Neelofa tidak prihatin akan nasib seseorang yang berdepan situasi begitu bahkan dikatakan tidak sesuai serta kurang layak untuk menjadi penyampai radio. – HIBGLAM