SELEPAS melalui tempoh sukar dan demi mendapatkan semula kekuatan rohani, bintang terkenal Hollywood, Will Smith mendakwa sudah 30 juzuk al-Quran sepanjang Ramadan tahun lalu.
Katanya, ketika dalam proses mengenal jati diri, dia turut membaca kitab lain termasuk Taurat, Zabur dan Injil, namun lebih tertarik kepada al-Quran yang sangat jelas maknanya.
“Waktu itu merupakan fasa ketika saya tergerak untuk membuka hati supaya dapat dekat dengan lebih ramai orang.
“Saya suka kesederhanaan pada al-Quran, ringkas dibaca, maknanya jelas seperti kristal dan suci, sukar menimbulkan salah faham kepada pembaca,” katanya dalam wawancara bersama wartawan Mesir, Amr Adib bagi program Big Time Podcast.
Pelakon filem Men In Black itu juga mengakui tertarik dengan kisah Nabi Musa dalam al-Quran.
“Saya kagum membaca banyak rujukan mengenai Musa dalam al-Quran. Melaluinya saya mengetahui kisah Musa sehingga berasa terhubung dengan Musa dan pengalaman yang dilaluinya.
“Saya juga terkejut bagaimana cerita dalam empat kitab iaitu Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran saling berkait dan umpama sebuah kisah,” kongsinya lagi.
Membaca al-Quran membuatkan dirinya lebih tenang, sekali gus mendorong pelakon terbabit untuk memperkenalkan kitab suci umay Islam itu kepada anak-anaknya.
“Membaca al-Quran dapat menghilangkan kebimbangan terutama ketika mereka ini masih muda dan dapat mengubah menjadi individu yang lebih baik untuk pasangan serta keluarga kita,” katanya.
Temu bual bersama aktor berusia 56 tahun itu yang membesar dalam lingkungan Katolik berlangsung ketika kunjungannya di Arab Saudi, baru-baru ini.
Menurutnya, itu adalah kedatangan ketiga ke negara berkenaan, selain menyatakan hasrat teringin mahu menetap di sana.
“Saya seperti mempunyai rasa memiliki dan saya menyukai kehidupan di sini,” ujarnya. – HIBGLAM.