DUNIA hiburan tanah air payah untuk melupakan insiden tangkap khalwat dua pelakon popular, Aliff Aziz dan Ruhainies di sebuah kondominium di ibu negara, baru-baru ini.
Hamburan kata nista bertebaran sana-sini. Tidak cukup Aliff dan Ruhainies dicerca, ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat mereka juga turut terpalit lumpur.
Seperti tiada kesudahan, bukan itu sahaja, pelakon lain turut terpalit apabila masing-masing ada yang terkena tempias, diminta mengulas atau dengan sendiri terpanggil bercakap isu serupa.
Tidak meletakkan diri dalam situasi serupa, hanya bersandarkan status sebagai suami, Izzue Islam tidak terkecuali diajak bercerita kisah di belakang tabir sepanjang terlibat dalam mana-mana penggambaran.
Bezanya, Izzue sinonim dengan gelaran suami contoh atau setia, lebih-lebih lagi melihat kerukunan rumah tangga selama sembilan tahun bersama wanita bernama Awin Nurin.
Meski sering menjadi watak utama dalam mana-mana drama, Izzue bersyukur tidak pernah terbabit kontroversi dek pendekatan meletakkan sempadan emosi.
“Sebagai manusia, kita pasti ada kerisauan tetapi saya selalu ingatkan diri dan berpegang kepada prinsip serta cara mengendali situasi.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah ada pelakon wanita cuba menggoda.
“Mungkin mereka sudah tahu cara saya bekerja. Lagi pun isteri saya sentiasa ada di sisi.
“Jadi saya rasa tidak pernah timbul isu pernah digoda pelakon wanita lain. Saya juga kena pandai jaga diri, jaga hati.
“Bila bekerja, kita perlu ada prinsip dan pendirian sendiri. Mungkin ada yang kurang senang, tetapi bagi saya berlakon ada pelbagai teknik.
“Setiap orang ada cara sendiri memainkan watak,” katanya kepada HibGlam.
Cipta keserasian
Apa yang menjadi tanda tanya, bagaimana bekas ahli kumpulan Forteen itu membina keserasian dan meletakkan batas dalam bab bersentuhan, terutama dengan pasangan heroin.
“Kalau di set penggambaran kita boleh sahaja cipta keserasian seperti ketika sedang rehat, makan atau sesi baca dialog bersama pengarah serta kru.
“Bergantung kepada cara kita. Lagi pun setiap hari kita akan berjumpa.
“Setakat ini, contohnya ketika saya berlakon dengan Ummi Nazeera. Walaupun kami tak bersentuhan, orang tetap boleh terima.
“Mereka dapat rasa kami berdua ini sepasang suami isteri dalam drama berkenaan,” ujarnya.
Sambung pemilik nama lengkap Muhammad Izzul Islam Mazlan itu, meskipun meletakkan sempadan dan menjaga hati, persembahan berkesan dalam drama berkenaan turut dipuji, baik peminat mahupun pelakon lain.
“Pelakon lain tak ada sampai minta nasihat tetapi cuma minta pendapat bagaimana ingin menyakinkan produksi dan rakan-rakan lain supaya tiada babak bersentuhan.
“Mereka juga ada tanya, cara cipta keserasian tanpa bersentuhan. Saya ini pun bukanlah bagus sangat cuma boleh kongsi pendapat apa yang saya tahu.
Ditanya mengenai pandangannya tentang sesi kenal rapat sebelum memasuki set penggambaran, Izzue tidak bersetuju dengan cara mencipta sebegitu.
“Secara peribadi, saya rasa tidak perlu pun sesi kenal rapat dengan pelakon wanita semata-mata untuk cipta keserasian.
“Itu boleh dilaksanakan di set penggambaran dan bergantung kepada cara masing-masing,” kata penyanyi berusia 33 tahun itu.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM