Boikot artis bermasalah, biar sedar diri – David Teo

PENERBIT terkenal David Teo akan  menyenarai hitam artis bermasalah demi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terhadap syarikat produksi miliknya, Metrowealth International Group (MIG).

Ujar Pengarah Urusan MIG itu, perlu ada tindakan tegas yang mampu menyedarkan segelintir artis bermasalah baik berkaitan penyondol mahupun langgar kontrak daripada terus besar kepala dan mendongak kelangit hanya kerana sudah dikenali ramai.

“Saya bersetuju segelintir penerbit mahupun pengarah yang memboikot artis bermasalah sebab ini adalah satu bentuk pengajaran supaya mereka sedar diri.

Apabila nama sudah melambung tinggi, mereka lupa tengok bawah, jadi kena ‘tembak’ bagi jatuh supaya tidak terus leka.

“Saya ikut jejak penerbit lain, nak boikot siapa, saya juga akan lakukan perkara sama. Saya sudah 24 tahun dalam industri hiburan, macam-macam perangai artis saya hadap. Dulu boleh sabar, sekarang tidak lagi.

Sama sahaja baik pelakon sendu mahupun popular, masing-masing ada perangai sendiri. Besar kepala sehingga menyebabkan penerbit dan pengarah rugi besar selain mencacatkan kelancaran sesebuah penggambaran,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya adakah isu itu hanya berlaku dalam kalangan artis masa kini sahaja, David berkata masalah sedemikian tidak mengenal generasi bahkan sudah lama terjadi ketika dirinya mula duduk di kerusi penerbit.

“Sebenarnya memang daripada dulu lagi wujud artis bermasalah tetapi saya masih bersabar lagi, malas ambil pusing. Saya tidak ambil mereka berlakon lagi tetapi tidaklah dicanang kepada pengarah lain supaya buat tindakan sama.

Masalah disiplin dalam kalangan artis ini ibarat senario yang tidak akan pernah selesai. Apabila sekarang ramai turut memboikot golongan bermasalah ini, saya angkat dua ibu jari.

“Menyokong disini bukan bermaknamenutup periuk nasi mereka, sekadar memberi pengajaran dan berharap mereka berubah suatu hari nanti,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Cheongsam Merah Darah, semalam.

Sebelum ini, heboh apabila David mendedahkan mahkamah memutuskan pelakon Hun Haqeem membayar ganti rugi sebanyak RM613,950 kepada Metrowealth atas kesalahan melanggar kontrak.

Susulan itu, ramai netizen meminta David untuk memboikot aktor itu daripada terus berlakon di bawah syarikatnya sebagai pengajaran.

Tidak hanya itu, penerbit, A. Aida juga telah menyenarai hitam pelakon Ruhainies gara-gara ‘kantoi’ ditangkap khalwat dengan pelakon Aliff Aziz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok