Berterusan menyuntik semangat buat Bella Astillah, pelakon Puteri Sarah berkongsi pengalaman berperang dengan perasaan ketika fasa awal berdepan kemelut rumah tangga sehingga akhirnya kini mampu mengecap nikmat kebahagiaan.
Pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, itu menitipkan pesanan tersebut kerana pernah dihantui ketakutan untuk melalui perpisahan.
Dulu saya sangat takut untuk melepaskan, dulu saya benci perpisahan, dulu saya benci mengakhiri sesuatu, dulu saya sangat takut betapa sakitnya hati saya ketika mereka tidak ada lagi dalam hidup saya.
“Sekarang saya mengerti sesuatu berakhir itu kerana suatu alasan, ketika sesuatu tidak berhasil juga kerana suatu alasan. Kamu tahu melepaskan itu indah,” katanya dalam perkongsian Instagram Story.
Menurut ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu lagi, aturan Allah adalah sebaik-baiknya, selain menyifatkan setiap peristiwa mempunyai hikmah untuk insan yang sabar.
Terkadang itu sulit, tapi selalu ingatkan dirimu bahawa setiap yang berlaku adalah atas izin-Nya. Lepaskanlah hal yang menyakitimu.
“Bersabarlah dalam prosesnya kerana setelah setiap kesabaran, ada hal indah menantimu,” ujarnya lagi dalam bingkisan tersebut.
Sebelum ini dalam hantaran lain Puteri Sarah mengakui turut terkesan dengan kesedihan ditanggung isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz itu.
Terdahulu, Bella sudah memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.
Nama Aliff hangat diperkatakan selepas ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada awal pagi Sabtu lalu.
Begitupun, kedua-dua pelakon yang bergandingan dalam drama Terjerat itu dibebaskan dengan jaminan pada hari sama dan bakal dibicarakan tidak lama lagi. – HIBGLAM