Bazar Ria Raya Bujang Lapok kenang P. Ramlee

MEMENUHI hasrat membantu penggiat seni menambah pendapatan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menganjurkan Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street di KL Gateway Mall, Bangsar South Ramadan ini.

Ibarat serampang dua mata, program ini juga sebagai inisiatif bagi memperingati hari kelahiran Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac ini.

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, bazar yang diilhamkan daripada filem legenda saga Bujang Lapok itu menjanjikan suasana beli-belah persiapan Syawal yang selesa di bawah satu bumbung.

Katanya, sebanyak 50 gerai jualan yang disediakan tidak hanya terbuka kepada selebriti, bahkan turut membabitkan kalangan pekerja industri kreatif serta peniaga lain.

“Besar hasrat kami agar bazar berkonsepkan ‘one stop center’ di KL Gateway Mall yang menjadi tumpuan ramai ini dapat memenuhi iltizam membantu anak seni kurang berkemampuan.

Ikutkan kami menyediakan 50 gerai dengan 60 peratus adalah usahawan selebriti serta pekerja belakang tabir, manakala selebihnya adalah golongan vendor yang juga usahawan tegar.

“Tujuan penganjuran Bazar berkonsep filem saga Bujang Lapok adalah untuk membantu golongan sasaran, menyediakan pusat jualan sehenti raya, sekali gus menyemarakkan Hari Seniman,” katanya ketika pelancaran acara itu, baru-baru ini.

Bantu karyawan

Menurut Zed lagi, keutamaan pesta jualan yang dijadualkan bermula serentak tarikh lahir P. Ramlee iaitu 22 Mac ini memberi keutamaan kepada warga industri yang terjejas dari segi kewangan atau mempunyai masalah kesihatan.

“Peluang berniaga ini tetap diberikan kepada artis, penggiat seni semua bidang serta kru yang berhadapan kekangan kewangan akibat hilang kerja atau mempunyai masalah kesihatan.

“Sememangnya banyak agenda sudah dirancang bagi memeriahkan Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street dari 22 Mac hingga 7 April dengan menyelitkan banyak acara sampingan.

“Antara yang berada dalam senarai adalah pertunjukan fesyen kanak-kanak, cabutan bertuah selain acara rewang bungkus kuih raya untuk diagihkan kepada orang ramai,” ujarnya.

Menurut Zed, sebagai pelengkap, semua gerai akan dihias mengikut tema empat filem Bujang Lapok termasuk Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali baba Bujang Lapok.

Pada masa sama, Seniman menjangkakan bazar yang berlangsung selama tiga minggu di KL Gateway Mall itu bakal dimeriahkan sekitar 50,000 pengunjung.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok