PENYANYI rap, Loca B gembira apabila anak sulungnya, Yusuf Alexander berjaya mendapat status warganegara selepas lapan tahun menanti.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Loca B atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali dalam TikTok, penyanyi berusia 32 tahun itu memberitahu telah menerima panggilan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memaklumkan berita gembira itu.
Saya pernah berkongsi perjalanan sukar untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak saya, Yusuf. Sekarang saya mahu berkongsi bahawa saya telah mendapat panggilan dari JPN.
“Yusuf akan menjadi warganegara Malaysia. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam perjalanan ini,” ujarnya.
Pada masa sama, isteri kepada penyanyi Tuju itu juga menganggap perkara tersebut sebagai satu rahmat sempena menyambut Ramadan.
Alhamdulillah untuk Ramadan kali ini,” katanya.
Menerusi hantaran berbeza, Loca B turut meluahkan rasa Syukur apabila tidak perlu lagi untuk berulang-alik ke pejabat kedutaan untuk memperbaharui visa anaknya selepas ini.
Tiada lagi lawatan ke kedutaan,” ujarnya.
Sekitar 2021, Loca B pernah meluahkan rasa kecewa apabila Yusuf yang sudah menetap di negara ini sejak kecil masih berstatus bukan warganegara.
Kata pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu Gila itu, dia khuatir dengan masa depan anaknya di negara ini memandangkan usahanya untuk mendapatkan hak warganegara tertangguh selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.
“Yusuf akan menginjak usia enam tahun (pada 2022). Saya cuma risau dengan masa depannya dalam negara ini. Saya cuma mahu dia terus bersama saya.
Patutnya Yusuf terus dapat hak kewarganegaraan waktu saya lahirkan dia. Tak patut jadi susah begini untuk dia tinggal dengan saya di negara ini.
“Waktu dia masih bayi, saya patut punya hak untuk pindahkan kewarganegaraan saya kepada anak saya,” katanya.
Difahamkan, Yusuf yang kini berusia lapan tahun merupakan anak sulung Loca B dengan suami pertama yang tidak diketahui identitinya. Kanak-kanak itu dilahirkan di United Kingdom.
Loca kemudian berkahwin dengan ahli kumpulan K-Clique, Muhd. Azree Shah Awang Zamree (Tuju) pada Mac 2020 dan dikurniakan seorang lagi cahaya mata bernama Bintang Aiko.
Terdahulu, media melaporkan pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berstatus warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional. – HIBGLAM