4 bintang K-pop dibenci tanpa alasan masuk akal

MENJADI idola K-pop bukanlah sekadar mengecap populariti dan sentiasa dipuja khalayak sepanjang hayat.

Hakikatnya, hidup selebriti seperti berasa di bawah kaca mikroskop netizen, mudah sahaja mengundang spekulasi dan dakwaan tidak berasas.

Kendatipun tidak dinafikan bahawa terdapat deretan idola menerima sokongan dan kasih sayang yang besar daripada peminat K-pop, namun sama seimbangnya juga kebencian mereka kepada idola yang tidak digemari.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa idola K-pop yang dibenci atas sebab yang tidak masuk akal.

Yeri

YERI

Ketika Red Velvet membuat penampilan sulung pada 2014, kumpulan tersebut pada awalnya hanya mempunyai empat ahli. Selepas itu berlaku penambahan apabila Yeri kemudian diserap masuk.

Belum seminggu dalam kumpulan tersebut, idola berusia 25 tahun itu dihambur pelbagai caci maki netizen yang memanggilnya hodoh dan tidak berbakat.

Lebih teruk, terdapat peminat lantang mengkritik segala aspek tentang Yeri yang disifarkan tidak cukup bagus untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan Red Velvet.

Tetap tenang menelan segala kata nista, wanita tinggi lampai itu sekali lagi menjadi tempat hinaan netizen selepas dilihat menangis teresak-esak pada majlis pengebumian anggota kumpulan SHINee, Jonghyun.

Yeri didakwa sengaja berbuat demikian untuk meraih perhatian orang ramai kononnya mempunyai hati murni dan simpati yang tinggi.

Chen

CHEN

Kisah percintaan idola K-pop kekal menjadi topik yang hangat dalam kalangan peminat, terutamanya jika seseorang idola itu popular. Situasi sama terjadi kepada Chen.

Usai jejaka berusia 32 tahun itu mengumumkan perkahwinan bersama teman wanitanya yang ketika itu bukan selebriti, peminat bukan mengucapkan tahniah sebaliknya memilih untuk memboikot anggota kumpulan Exo itu.

Terasa seperti dikhianati dengan janji-janji palsu, Chen digesa untuk meninggalkan kumpulan Exo dan tidak lagi munculkan diri dalam dunia hiburan K-pop.
Akinbat kebencian melampau, segerombolan peminat tampil memprotes dan berarak di luar bangunan SM Entertainment untuk menggesa agensi tersebut menyingkirkan Chen daripada kumpulan Exo.

Daewhi

DAEWHI

BERSIH daripada kontroversi murahan, bekas ahli Wanna One yang kini merupakan anggota kumpulan AB6IX, Daehwi, sentiasa menerima kata nista netizen dek berat badannya yang tidak mencapai piawaian sebagai idola lelaki

Lebih teruk, idola berusia 23 tahun yang mempunyai berat sekitar 51.5kg dengan pinggang berukuran 17 hingga 20 inci itu disifatkan seperti tiang yang sedang menari dan kelihatan seperti orang sakit.

Menurut netizen, berat badan dan pergerakannya itu kelihatan feminin dan tidak cukup jantan. Dia dibimbangi akan memberi contoh tidak baik kepada anak muda.

Selain berat badan dan penampilan, netizen bagaimanapun tidak dapat menyangkal bahawa bakat nyanyian dan tarian Daewhi selayaknya bergelar seorang penghibur berbakat.

Jiwoo

JIWOO

Isu berat badan juga boleh mencetuskan kebencian dalam kalangan peminatnya. Hal sama berlaku kepada anggota kumpulan NMIXX, Jiwoo yang dibenci atas sebab tersebut.

Tidak lama selepas gadis berusia 18 tahun itu debut sebagai ahli NMIXX, idola yang masih remaja itu terpaksa menelan cacian netizen mengenai fizikalnya.

Meskipun baru berusia belasan tahun, netizen berpendapat badannya terlalu montel dan mempunyai kaki yang besar dan tidak normal.

Mereka juga mendesak Jiwoo melakukan sesuatu terhadap penampilannya yang disifatkan seolah-olah mencacatkan koreografi kumpulan.

Jiwoo sedaya upaya beramah mesra dengan peminat tetapi dibenci tanpa sebab munasabah bahkan dilabel sebagai pemusnah piawaian kecantikan di Korea Selatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok