‘Vampire?’ Tidaklah, saya bukan muda lagi – Sofia Jane

‘VAMPIRE?’, tidaklah, saya bukannya muda lagi, apa yang saya boleh katakan hanyalah terima kasih”.

Demikian respons pelakon berpengalaman, Datin Sofia Jane mengulas rahsia kejelitaannya apabila masih awet muda biarpun sudah mencecah usia 52 tahun.

Menolak pujian melambung, aktres kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui sehingga ke hari ini beliau sering menerima pertanyaan berhubung rutin kecantikannya.

 Tetapi kebiasannya memang ramai orang bertanya saya pakai apa atau saya buat apa untuk kekalkan wajah begini.

“Orang tidak sedar kita adalah cerminan bagaimana kita hidup sebagai manusia dan apa yang kita inginkan selama hidup di dunia,” ujarnya kepada HibGlam.

Disoal apakah rahsianya untuk kekal awet muda dan masih kelihatan cergas pada usia lebih setengah abad, bintang yang popular dengan filem Perempuan, Isteri dan…. itu mendedahkan beliau hanya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Bagi saya perkara yang paling asas adalah kita cuba hidup sebaik mungkin, makan dan berolahraga sebaik mungkin.

Itu sahaja kita mampu buat dengan harapan dapat umur yang panjang supaya kita oleh melakukan lebih banyak perkara-perkara hebat dan baik,” kongsi Sofia.

Sofia ditemui pada majlis bacaan Yassin sempena ulang tahun Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, Sofia bakal muncul dengan filem Mencari Ramlee bersama aktor Tony Eusoff dan Mimi Lana yang bakal ditayangkan pada tahun ini.

Meskipun sudah lama bersahabat baik dengan Tony, namun filem Mencari Ramlee adalah karya pertama yang menyatukan mereka berdua.

“Apa yang boleh dikatakan berlakon dengan sahabat sendiri sangat mudah kerana keserasian itu sudah ada. Walaupun saya sudah menonton hasil kerjanya, tetapi untuk filem ini dia membawa sesuatu yang berbeza,” kongsi Sofia tentang filem arahan pelakon Megat Shahrizal itu.

Selain filem Mencari Ramlee, tahun ini beliau bakal muncul dengan sebuah drama bersiri dan beberapa buah filem. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok