Zuriat? Saya serah kepada Allah – Haqiem Rusli

SEKITAR April tahun lalu, penyanyi berbakat besar, Haqiem Rusli hadir dengan satu pendedahan, kononnya sedang menempuh fasa badai, suhu rumah tangganya teruji susulan tindakan si isteri Anis Sofea mengambil keputusan tidak lagi berhijab.

Selain tampil dengan imej baharu, Anis mencipta sensasi mengalahkan artis. Namanya menjadi bualan khalayak, lebih-lebih lagi selepas dilihat memadam gambar bersama Haqiem dalam Instagram. Onar apa lagi yang sedang dibikin? Natijahnya, si suami yang menadah bahana.

Haqiem enggan memperincikan perihal tersebut meskipun pelbagai andaian dan tohmahan ditujukan kepada mereka berdua.

Kata pemilik nama lengkap Ridzuan Haqiem Rusli itu, dia beranggapan apa yang terjadi adalah bersifat terlalu peribadi.

Pada masa sama, penyanyi berusia 26 tahun itu turut menegaskan bahawa, hubungannya dengan isteri masih baik dan tiada sebarang kemelut tercetus antara mereka.

BUKAN lagi berstatus bujang, Haqiem tetap bersyukur apabila masih memiliki peminat yang setia mengikuti karya muziknya.

Hampir setahun berlalu, Haqiem nampaknya masih berpendirian serupa.

Ketika menjayakan fotografi eksklusif di Studio Media Mulia baru-baru ini, Haqiem bertegas, kisah peribadi, terutama membabitkan isu rumah tangganya masih kekal dalam kotak simpanan dan ‘dikunci’ dengan rapi.

Seperti sudah boleh mengagak soalan yang bakal diajukan, pelantun lagu Tergantung Sepi itu nampak tenang sewaktu menjawab soalan.

Sesekali dia tertawa sehingga menampakkan giginya yang tersusun putih.

Komen saya? Tiada komen. Hanya doakan yang terbaik. Dari segi mental isteri, semuanya okey,” jawab Haqiem ringkas.

Dia seakan-akan memberi bayangan untuk tidak mahu melanjutkan perbualan tentang rumah tangganya.


MENITI usia 26 tahun, Haqiem tidak mengatakan dirinya sudah cukup matang, namun sedikit sebanyak tahu liku-liku yang perlu dilaluinya sebagai lelaki, suami dan anak seni.

Bukan niat untuk menjaga tepi kain orang, penulis cuba beralih ke perbahasan lanjut dengan bertanyakan pula perihal cahaya mata. Haqiem dan Anis sendiri sudah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga,

Sekali lagi, bekas naib juara program Idola Kecil musim pertama itu memberikan jawapan ringkas, namun cukup bermakna.

“Saya berserah kepada Allah dan tidak menetapkan apa-apa perancangan. Kalau keluarga tanya sekali pun, jawapan saya mudah sahaja, semua itu atas urusan Tuhan.

Bahkan jika 10 tahun akan datang sekali pun, jika saya masih tidak dikurniakan cahaya mata, jawapannya tetap sama.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana yang tetapkan adalah Dia,” jawab Haqiem sambil membetulkan posisi duduknya supaya lebih selesa,” katanya yang sama sekali tidak menyesal berkahwin pada usia muda.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok