Tiada orang ketiga, hubungan kami baik – Raf Yaakob

BEKAS suami pelakon Mawar Rashid, Raf Yaakob menegaskan perceraiannya dengan pelakon itu bukan disebabkan ada orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal ketika ditemu bual sebuah program hiburan bahkan berkata hubungannya dengan Mawar juga berada dalam keadaan baik walaupun mereka kini bukan lagi pasangan suami isteri.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik sahaja. Selepas bercerai, tiada siapa yang keluarkan sebarangan kenyataan.

Saya ingin terangkan di sini bahawa, perceraian kami bukanlah disebabkan oleh pihak ketiga. Saya tiada orang ketiga dan begitu juga dengan bekas isteri saya.

“Allah dah kata jodoh kami setakat ini sahaja, jadi saya reda dan menerima ujian ini dengan hati terbuka,” katanya.

Selepas berpisah, Raf yang juga adik kepada cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob memberitahu dia dan juga Mawar sepakat menjaga hubungan baik mereka demi kebahagiaan anak-anak.

Selepas bercerai, tiada sebarang pergaduhan melibatkan anak-anak. Kami berdua sangat flesibel apabila melibatkan mereka (anak-anak).

“Itulah tanggungjawab kami untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan yang bahagia.

Alhamdulillah, setakat ini kami sangat positif dengan anak-anak. Insya-Allah, mereka tidak akan terkesan dengan apa yang berlaku di antara saya dan Mawar,” ujarnya.

Ketika disoal tentang jodoh pada masa hadapan, lelaki berusia 39 tahun itu hanya berserah kepada Allah SWT dan tidak menolak seandainya berjodoh semula dengan bekas isteri.

“Soal jodoh ini semuanya ketentuan Allah dan apa yang saya boleh cakap ialah saya akan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik”.

Kalau Allah kata saya akan dijodohkan semula dengan dia (Mawar), maka dialah orangnya. Namun jika Allah kata bukan, maka bukanlah dengan dia.

“Apa yang penting sekarang ini, saya mahu fokus untuk mencari nafkah buat anak-anak dan perbaiki diri,” jelasnya.

Terdahulu, Raf dan Mawar mengesahkan mereka sudah bercerai pada November tahun lalu selepas hampir tujuh tahun hidup bersama.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.

Raf juga memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok