KALI ini saya dapat menari, boleh gedik atas pentas dan buat apa yang saya nak.”
Itu kata penyanyi Nabila Razali yang mengakui pentas The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) menjadi platform untuknya menonjolkan alter ego.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, berkata, menyanyi di sebalik topeng tanpa dikenali ramai mendorongnya keluar dari zon selesa dengan menyanyikan lagu pelbagai genre.
“Sebelum ini saya menyanyi genre lagu sama tetapi menerusi TMSM4, saya dapat lakukan perkara yang saya tak pernah buat.
Saya jadi lebih berkeyakinan dan selesa menonjolkan sisi berbeza tanpa rasa dihakimi khalayak.
“Peminat selalu ingat saya seorang sweet girl, jadi di sebalik maskot ini saya dapat teroka sisi lain Nabila Razali,” katanya kepada HibGlam.
Pelantun lagu Peluang Kedua itu turut menzahirkan rasa syukur kerana orang ramai mula buka mata dengan kemampuan vokalnya terutama ketika mengalunkan lagu bernada tinggi.
“Saya rasa selama ini saya tidak berpeluang mempamerkan kemampuan diri, tetapi mungkin kadang-kadang bila sudah ada peluang saya buat silap pula. Perkara ini diluar jangkaan.
Saya mahu beri kredit kepada guru vokal saya iaitu Shafiq Erwin yang membentuk diri ini menjadi lebih baik. Saya tidak cakap saya sudah bagus, banyak lagi saya perlu belajar.
“Setiap minggu adalah cabaran untuk saya menyakinkan penonton dan mampu memberikan persembahan dengan baik,” ujarnya selepas konsert akhir TMSM4, malam tadi.
Nabila menduduki tempat kelima dalam TMSM4, manakala penyanyi Stacy Anam dinobatkan sebagai juara.
Pelawak Namie (Mat Helang) meraih tempat kedua, Danial Zain (Sang Kancil) di tempat ketiga dan Adinda (Biskut Aiskrim) berada di kedudukan keempat. – HIBGLAM