PENYANYI dan pelakon, MK K-Clique memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah terasa hati dengannya sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah, hari ini.
Perkara itu dikongsikan oleh MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Bismillah. Assalamualaikum semua. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf dengan semua, sekiranya saya ada terkasar bahasa atau perbuatan.
“Maafkan saya dan halalkan apa sahaja yang saya terlupa atau tidak sedar. Dengan izin Allah SWT, Insya-Allah,” tulisnya.
Dalam hantaran berbeza, penyanyi dan pelakon berusia 27 tahun itu dilihat sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama ahli keluarganya, sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.
Dalam ruangan komen, ramai yang memuji tindakannya memohon maaf sebelum berangkat ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah, selain mendoakan agar dirinya memperoleh keberkatan ketika di Tanah Suci.
Tidak hina orang yang memohon maaf. Memohon maaf tanda besar jiwa. Selamat menunaikan umrah,” ujar seorang pengikutnya.
“Selamat menjadi tetamu Allah SWT. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimakbulkan doa dan hajat,” ucap seorang lagi pengikutnya.
“Doakan kami disana semoga boleh menjadi tetamuNya,” pinta seorang lagi pengikutnya dalam Instagram. – HIBGLAM