PELAKON dan pelawak, Lan Pet Pet meluahkan rasa kecewa apabila peralatan memasak untuk perniagaan dicuri individu tidak bertanggungjawab sekali gus mengakibatkanya kerugian sekitar RM10,000.
Enggan masalah berlarutan, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 54, berkata, dia bagaimanapun sudah pun membuat laporan polis.
Saya sudah membuat laporan polis, tak tahu nak cakap macam mana, periuk belanga buat persiapan perniagaan kami semuanya telah dicuri.
“Apa yang saya boleh katakan, setiap biji periuk ini berharga RM1,200 setiap satunya, dah mereka sapu habis tiga biji periuk.
“Barang lain yang dicuri ialah motor mesin kacau kuah, kabel dan pelbagai lagi. Memang habis licin. Anggaran nilai kecurian lebih RM10,000,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Meskipun diselubungi amarah dan rasa geram, anggota kumpulan Senario itu bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana masih dikurniakan kekuatan untuk terus bersemangat memulakan perniagaannya di karnival makanan itu.
Terima kasih, Ya Allah kau beri kami kekuatan. Terima kasih juga kepada pasukan perniagaan saya yang tidak pernah berputus asa meskipun macam-macam dugaan berlaku.
“Apa-apa pun, janji tetap janji. Saya berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan perniagaan saya, rasa ‘down’ itu pasti tetapi saya reda.
“Saya janji saya akan tunaikan untuk kuat dan meneruskan perniagaan dalam karnival makanan itu tetapi anda juga jangan lupa doakan untuk saya dan kru saya ya,” ujar Lan.
Sebelum ini, persiapan Lan untuk berniaga di Kulim sepanjang 19 hingga 25 Februari itu terganggu apabila peralatan untuk memasak dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kecurian itu membabitkan periuk besar bersaiz 90 sentimeter sebanyak tiga unit dan mesin yang diletakkan di kedai di Alor Setar, Kedah. — HIBGLAM