KALAU ditanya tentang bagaimana dan apa pendapat usai menamatkan tontonan lebih dua jam mengamati filem bertemakan espionage atau perisikan terbaharu garapan Matthew Vaughn berjudul Argylle, secara peribadinya, acuan naskhah berkenaan cukup sempurna dari segi aksi, lelucon dan kehebatan skor muzik.
Jujurnya, penulis tidak meletakkan jangkaan tinggi terhadap filem berkenaan.
Perkara yang meracun penulis menghabiskan ke panggung adalah, naskhah terbabit dijayakan ensemble atau barisan pelakon star-studded termasuk Henry Cavill, Sam Rockwell, Bryce Dallas Howard, John Cena, Dua Lipa, Ariana DeBose dan semestinya, Samuel L. Jackson.
Komitmen pelakon, plot
Hasilnya, memang memang berbaloi kerana dari segi jalan cerita, pusingan plot (plot twist), terjemahan karakter dan perihal penting lain, semua dijayakan dengan sebaik mungkin.
Pertama sekali, kalaulah Argylle diluncurkan pada 2023, soundtrack filem berjudul Electric Energy (nyanyian Ariana DeBose, Boy George dan Nile Rodgers) berkemungkinan besar tercalon dalam acara-acara besar Hollywood seperti Golden Globe dan Anugerah Akademi.
Mampu memberi cabaran kepada soundtrack filem Barbie yang mendominasi menerusi lagu-lagu seperti What Was I Made For (Billie Eilish) dan Dance The Night (Dua Lipa).
Keduanya, dari segi plot atau jalan cerita. Sejujurnya, tidak menyangka Argylle digarap sedemikian rupa. Ingatkan fokal penceritaan adalah tentang Henry Cavill sebagai Argylle namun ternyata jangkaan awal itu jauh meleset.
Tidak mahu membocorkan terlalu banyak spoiler, cukuplah dengan memberitahu bahawa Sam Rockwell dan Bryce Dallas Howard menjalankan peranan masing-masing dengan cukup sempurna.
Sam Rockwell, anda adalah antara aktor luar biasa terutama sedari Three Billboards Outside Ebbing, Missouri!
Dengan apa yang dipaparkan menerusi karakter Aidan, lagi ‘anjal’ tabik ‘spring’ terhadap pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem yang disebutkan di perenggan atas.
Karakter Aidan adalah sebab mengapa Argylle mengembara seluruh pelusuk jiwa audiens dengan penuh impak.
Dari satu sudut, membawa keseronokan dan pengalaman yang membawa senyuman pulang ke rumah usai meninggalkan bangku panggung wayang.
Sinergi
Tidak dilupakan, watak Elly Conway (Howard) sangat hebat terjemahan dan permainannya.
Daripada penulis wanita berwajah polos yang obses menulis tentang fiksyen novel Ejen Argylle kepada seseorang yang kehidupannya bertukar 180 darjah, memang luar biasa penangannya.
Apa yang bertukar, semua itu perlu digauli sendiri dengan berkunjung di pawagam-pawagam berdekatan.
Adegan Conway bertarung dan bermain ‘ski’ buatan sendiri dengan limpahan minyak hitam dengan penjahat, itu masih berbekas di minda penulis sehingga sekarang.
Tidak dilupakan babak third act (setengah jam terakhir), kolaborasi antara Conway dan Aidan membongkar kejahatan Ritter dan Ruth sangat menghiburkan dan pada masa sama, menderaskan adrenalin.
Berwarna-warni atmosfera, tidak berkelip mata menonton kemenjadian adegan dimaksudkan.
Sementara itu, Dua Lipa sebagai LaGrange menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang, cukup dengan screentime yang dijangkakan kebanyakan peminat.
Ariana DeBose sebagai Keira tidak langsung menghampakan dan barangkali karakternya akan terus dikembangkan untuk edisi yang akan datang.
Watak kucing bernama Alfie juga cakna dengan tugasannya dan merupakan antara karakter penting yang menyelamatkan keadaan pada penghujung perjalanan filem.
Secara keseluruhan, kalau inginkan sebuah filem perisikan tidak klise yang sedikit membuatkan fikiran ‘bekerja’ sedikit keras, Argylle adalah jawapannya dan semestinya, tidak mengecewakan.