MENCABAR, berat maskot rasanya sama seperti saya mendukung anak yang beratnya 12 kilogram.”
Demikian perkongsian juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4), Stacy Anam mengenai maskot Bunga Matahari yang disarungnya sepanjang beraksi dalam pertandingan yang melabuhkan tirai malam tadi itu.
Stacy atau nama lengkapnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, bahkan mengakui beberapa kali sakit kepala dan hampir pengsan selain lenguh satu badan gara-gara memakai maskot tersebut.
Ada minggu tertentu saya mengalami sakit belakang badan dan migrain sebab kostum itu sangat berat, malah lebih teruk pernah hampir pitam atas pentas kerana terlalu panas dan oksigen terhad.
“Sebab itu saya kena kurangkan pergerakan ketika membuat persembahan dengan fokus kepada nyanyian sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Menyedari ramai dapat meneka dirinya di sebalik topeng tersebut, pelantun lagu Khayal itu terpaksa mengunci mulut bagi mematuhi kontrak program yang tidak membenarkan peserta mendedahkan identiti mereka.
“Dari awal orang sudah mula ‘serang’ saya di media sosial kerana boleh agak siapa di sebalik maskot Bunga Matahari.
“Tetapi saya tidak boleh jawab. Mungkin saya gagal kelirukan orang, namun saya anggap ini satu kejayaan kerana sampai ke final.
“Ibu sendiri pun tidak tahu Bunga Matahari itu adalah saya sehingga pada minggu ketiga dia bertanya. Apabila juri meneka nama, saya hanya mampu tergelak dalam kostum,” ujarnya ketika ditemui selepas konsert akhir TMSY, malam tadi.
Semalam, teka-teki pemilik vokal padu di sebalik maskot Bunga Matahari terjawab apabila isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu diumumkan sebagai juara TMSMY4.
Prestasi Bunga Matahari terserlah sejak awal pertandingan apabila tujuh kali bergelar juara mingguan iaitu pada minggu ketiga sehingga minggu kesembilan.
Peserta diadili juri tetap sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus lagi merupakan undian peminat.
Bunga Matahari membawa pulang hadiah sebuah trofi seperti mana mengikut format negara-negara lain. – HIBGLAM