Magis Ed Sheeran pukau SNBJ

SEKITAR 55,000 lautan manusia membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur Sabtu lalu berkongsi detik manis bersama penyanyi terkemuka Britain, Ed Sheeran menerusi konsert jelajahnya, +-=÷X atau The Mathematics Tour.

Penulis antara satu ‘titik kecil’ yang berkesempatan meraikan malam gemilang persembahan bintang red headed kelahiran Halifax, West Yorkshire, England itu.

Pada pengamatan peribadi, kemenjadian persembahan Sheeran, 33, atau nama lengkapnya, Edward Christopher Sheeran sangat ulung daripada segi permainan listrik vokal, petikan gitar ‘berganti-ganti’, pencahayaan pentas serta komunikasi cemerlang dengan audiens.

Sheeran tidak banyak ‘bercakap’, kalaupun beliau berbuat demikian, aksen Inggerisnya sangat pekat hingga apa yang terucap dari bibirnya sukar untuk difahami. Apatah lagi, buat mereka yang duduk di kerusi yang terbelakang iaitu di tempat duduk CAT 3.

Bukan sahaja memiliki listrik vokal mempesona, Ed Sheeran juga hebat dengan permainan perkakas muzik seperti gitar.

Kendatipun, suami kepada wanita bernama Cherry Seaborn itu sangat teruja untuk sekali lagi beraksi di pentas yang sama selepas kali pertama berbuat demikian pada 2019.

Berada sedikit kejauhan tidak menghalang penulis menikmati muzik Sheeran yang bervariasi. Dari genre pop, folk-pop dan soft rock, dia membuktikan kehadirannya ‘sophomore’ kali ini bukan sesuatu yang sia-sia meskipun berdepan dengan beberapa tentangan.

Tepat pukul 9 malam, Sheeran memulakan persembahan dengan lagu perdana berjudul Tides yang dipetik daripada diskografi kelimanya berjudul Equals.

Dari satu sudut, kelihatan Sheeran seperti mencari ‘rentak’ persembahan dengan sistem bunyi atau sound yang sedikit membingungkan, namun situasi itu tidak berpanjangan.

Kematangannya sebagai seorang penghibur antarabangsa terpamer penuh bergaya apabila bijak mengenal pasti apa yang kurang dan digantikan dengan energi dan tindakan selayaknya.

“Apa khabar semua? Terima kasih kerana merempuh kesesakan lalu lintas, bersesak naik kereta api untuk sama-sama menikmati malam ini dengan saya,” kata pemenang trofi Grammy sebanyak empat kali itu.

SERAMAI 55,000 lautan manusia membanjiri konsert Ed Sheeran, The Mathematics Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Buat peminat tegar muzik Sheeran, malam The Mathematics Tour tidak hanya bergema dengan untaian lagu popularnya seperti Photograph, Shape of You, Thinking out Loud dan banyak lagi.

Dia juga menyanyikan lagu-lagu berstatus ‘deepcut’ atau kurang dikenali orang kebanyakan seperti American Town, Peru, Celestial dan beberapa seleksi lain.

Itulah keseronokan menghadiri konsert mega penghibur ternama. Bukan semua magis dari tangan mereka meniti di bibir peminat. Buat mereka yang kurang cakna dengan muzik Sheeran, mereka barangkali tidak terlazim dengan apa yang dilaungkan pada malam konsert.

Dalam pada itu, antara mencuri tumpuan adalah pentas yang berpusing 360 darjah di tengah-tengah SNBJ.

Sekali pandang konsepnya seperti cakera padat berpusing atau piring hitam. Kalau Sheeran dua jam setengah berpusing di posisi sama, mahu ‘muntah hijau’ kepeningan mat salih itu dibuatnya.

Seperkara yang penulis belajar daripada konsert Sheeran adalah betapa magisnya ketepatan masa yang dipraktikkan produksi atau pihak penganjur.

Di atas kertas atau mengikut jadual, konsert sepatutnya bermula pukul 9 malam dan itulah berlaku. Perkara tersebut memberi peringatan kepada mereka yang ingin bertandang ke Kuala Lumpur atas nama muzik bahawa masa itu sememangnya emas.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok