BAKAT dan lakonan aktres Kim Hyun-joo tidak perlu dipertikaikan lagi. Deretan anugerah dan karya lakonan mencengkam jiwa sudah cukup untuk meletakkan namanya di posisi pelakon senior terunggul.
Kini pada usia 47 tahun, Hyun-joo masih mampu bersaing dan diberi kepercayaan untuk memegang watak heroin di dalam filem mahupun drama.
Kemunculan ramai aktres baharu tidak pernah menggugat dirinya untuk tampil dengan watak-watak yang berbeza.
Hyun-joo yang sebelum ini popular dengan drama seperti Boys Over Flowers, Hellbound dan filem Jung-E berazam mahu beri kepuasan bukan sahaja kepada penonton bahkan dirinya.
Saya seronok melakonkan watak-watak berbeza dalam setiap karya kerana memberi peluang untuk saya menjadi individu berbeza,” kata Hyun-joo.

WALAUPUN usia hampir mencecah, Hyun-joo masih mampu bersaing dan diberi kepercayaan untuk memegang watak heroin di dalam filem mahupun drama.
Enggan dilabel sebagai pelakon stereotaip, Hyun-joo pernah mengambil langkah drastik untuk berehat daripada dunia seni selama dua tahun selepas membintangi drama Marrying A Millionaire pada 2005.
“Waktu itu saya kecewa dan benci kerana sering diberi watak sama iaitu wanita yang lembut dan naif. Jadi, saya memutuskan untuk berehat.
Tetapi saya menyesal dengan keputusan itu. Sepatutnya saya tidak boleh menyalahkan orang sekeliling sebaliknya saya yang harus bekerja keras untuk membuktikan bahawa saya lebih daripada watak wanita baik,” kongsi Hyun-joo.
Sekembalinya Hyun-joo ke dunia seni pada 2007, dia tidak menoleh ke belakang apabila berani mencabar diri memegang watak-watak yang berbeza.

BINTANG Boys Over Flowers ini percaya kerelevanannya banyak disokong oleh kewujudan platform penstriman digital.
Kesanggupannya membawa watak seorang pembunuh dalam drama In-soo is Pretty, membuahkan hasil apabila dia menerima anugerah Top Excellence pada KBS Drama Awards pada 2007.
Selepas itu, anugerah demi anugerah diraih dan secara total sebanyak 22 anugerah telah berada dalam genggamannya sepanjang 28 tahun kariernya seninya sebagai pelakon.
Peluang
Menyambung bicara tentang perjalanan karier, Hyun-joo menyifatkan hayat seninya mampu bertahan dan berkembang sehingga kini disebabkan kewujudan banyak platform penstriman.
Jika sebelum ini, pelakon hanya bergantung kepada karya untuk tayangan televisyen yang menetapkan banyak peraturan dan sekatan, kini anak seni semakin bebas berkarya dan memilih watak.
Saya beruntung kerana laman penstriman kini begitu banyak. Siapa sangka pada usia sekarang saya masih menerima pelbagai watak yang begitu mencabar.
“Jika untuk televisyen mungkin terhad kepada watak-watak tertentu tetapi tidak untuk laman penstriman.
“Sebagai contoh, saya membawakan watak tentera robot dalam filem Netflix, Jung-E.

MUNCUL dengan siri baharu berjudul, The Bequeathed, Kim Hyun-joo menyifatkan naskhah tersebut sangat unik dan mencetuskan satu definisi baharu terhadap makna sebenar ‘keluarga’.
Jadi, laman pentriman memang membuka peluang kepada pembikin karya dan pelakon untuk berkarya di luar kotak,” kata Hyun-joo.
Disebabkan peluang itu, Hyun-joo percaya dia mampu kekal relevan dan bertahan meski industri seni kebanjiran ramai pelakon baharu.
Lakonan adalah pekerjaan yang saya suka. Diterima, dipercayai dan dihargai dengan anugerah menjadikan perjalanan dan segala penat lelah ini berbaloi.
“Walaupun sekarang saya sudah dikategori sebagai pelakon senior kerana pengalaman dan usia, tetapi apabila masih diberi peluang memegang watak utama, saya amat bersyukur,” luahnya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.