‘Kenapa Cinta Kayangan, sebab cinta itu mahal’

DALAM industri hiburan tanah air, jejaka bernama Razzuan Rosli bukanlah orang baharu. Langkahnya bermula sebagai pelakon bahkan pernah menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019.

Perjalanan karier seni Razzuan Rosli sebenarnya bermula di pentas lakonan dan sehingga kini sedang membuktikan bakat dimiliki untuk mengumpul peminat tersendiri. 

Tidak mensia-siakan bakat kurniaan Tuhan, Razzuan kini mempertaruhkan nasib dengan single Akur terbitan Universal Music Malaysia pada 2022.

Pengalaman merakamkan single sulung itu menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan kecintaan terhadap dunia nyanyian sudah cukup sebati dalam diri.

Meneruskan nekad menghiburkan peminat, jejaka raut tampan itu kini muncul dengan karya baharu berjudul Cinta Kayangan yang mengangkat tema cinta itu buta.

MENGETENGAHKAN vokal unik seiring karya berkualiti, Razzuan berharap lagu terbaharunya, Cinta Kayangan bakal diterima ramai.

Ujar penyanyi tinggi lampai itu, lagu tersebut sarat makna cinta yang menggambarkan bagaimana cinta itu pada hakikatnya sangat subjektif. 

“Cinta adalah sesuatu yang subjektif, tapi cinta itu buta sebenarnya, sebab dalam hidup ini kadangkala kita jumpa dengan orang yang kita rasa kena dengan kita, tapi sebenarnya tidak. 

“Terkadang apa yang kita rasakan tidak selaras dengan kenyataan dan hubungan itu mungkin hanya angin lalu. 

“Perkara ini menjadi peringatan bagi semua orang bahawa tidak semua pertemuan adalah takdir dan bukan semuanya harus dilanjutkan atau dipertahankan,” ujarnya serius.

Dengan suara unik seiring lirik lagu memukau, Razzuan percaya nyanyiannya akan membawa pendengar larut dalam perjalanan mengenal erti cinta sebenar.

“Kenapa tajuk lagu ini Cinta Kayangan, sebab cinta itu sesuatu yang mahal. Untuk kita memahami sebuah perkataan cinta itu bukan semudah kita nak faham huruf A, B dan C. 

“Kita lahir atas muka bumi ini juga daripada benih cinta. Bumi ini pun disebabkan cinta, perasaan cinta yang terjalin antara dua insan. Itu antara sebab kenapa saya memilih lagu Cinta Kayangan ini,” katanya. 

Berkongsi mengenai video muzik lagu tersebut, Razzuan memilih alur cerita yang berkonsepkan pengorbanan dalam mencari kebahagiaan.

“Video muzik lagu ini menggambarkan betapa seseorang harus bersedia untuk melepaskan apa sahaja yang menjadi penghalang antara dirinya dan kebahagiaan yang diimpikan. 

“Pengorbanan bukanlah perkara mudah tetapi merupakan langkah penting dalam perjalanan mencapai kebahagiaan hakiki.  

“Jadi, menerusi video muzik ini, saya mahu mengajak penonton untuk merenung dan melihat betapa berani dan gigihnya seseorang sanggup melakukan pengorbanan demi mencapai impian mereka,” tuturnya panjang lebar.

Paling utama kata lelaki bermata sepet itu, Cinta Kayangan diharap dapat diterima baik peminat, sekali gus mesej yang dibawa dapat dihayati sebaik-baiknya.

“Saya berharap dengan tulus agar pendengar dapat menyambut lagu Cinta Kayangan ini dengan penuh kehangatan dan kesukaan. Lagu ini tidak hanya memberikan hiburan semata-mata, tetapi juga mengandungi mesej yang mendalam dan cerita yang ingin disampaikan,” ujarnya menutup bicara.

Cinta Kayangan kini boleh didengari dalam semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 26 Januari 2024. Video muziknya  juga telah ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok