MENEGASKAN hatinya masih belum dimiliki, pelakon Mierul Aiman mengakui terkejut apabila didakwa bercinta dengan cucu orang kenamaan.
Ujar Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, dia terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang individu terbabit.
“Saya sangat berbesar hati berkenalan dengan sesiapa sahaja dalam industri mahupun mereka daripada bidang lain kerana mahu berbudi kepada semua orang.
Saya tiada masalah untuk mengenali hati budi orang lain. Sungguh saya cakap, setakat ini tiada yang istimewa, saya masih single, mungkin ada yang terluka dengan kenyataan saya ini.
“Sejujurnya, saya terkejut dengan dakwaan ini. Saya berkawan dengan semua tapi tidak tahu sama ada dia dari keluarga VVIP atau tidak. Saya tidak pernah tanya dia anak siapa,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya tidakkah berasa rimas sering diasak soalan berkaitan cinta, pelakon drama siri fenomena Projek: High Council berkenaan berlapang dada kerana sedar itu harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.
Oh! Tidak mengapa, bagi saya industri ini seperti pejabat yang besar, jadi orang yang melihat saya mempunyai banyak persamaan dan media cuma bertanya apa orang nak tahu.
“Saya tiada rahsia apa-apa. Kalau berahsia pun cuma apa yang saya buat di rumah, selebihnya saya okey bercerita apa sahaja hal melibatkan kerjaya,” ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Project: Exit, hari ini.
Paling utama katanya, andai hatinya sudah terisi dengan kehadiran insan istimewa suatu hari nanti, dia akan berkongsi khabar gembira itu dengan peminat.
Kalau suatu masa nanti saya bercinta, kalau ada rezeki jodoh sampai awal, saya akan kongsi.
“Waktu sekolah dulu cinta monyet pun saya tak bercerita banyak sebab tak tahu ke mana halanya dan hanya melalui proses itu,” ujarnya.
Sebelum ini, muncul desas-desus mengatakan aktor muda itu dalam fasa bahagia dan sedang mengenali hati budi cucu kepada orang kenamaan yang juga pempengaruh. – HIBGLAM