KALAU betul saya kaki kikis, dah kaya, pakai kereta mewah.”
Demikian respons pelakon Azri Iskandar sekali gus menangkis tuduhan segelintir individu bahawa dia kaki kikis apabila dikatakan suka mengambil kesempatan terhada wanita.
Kata pemilik nama penuh, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, dia tidak menyedari timbulnya fitnah sebegitu memandangkan hubungan sebelum ini berakhir secara baik tanpa sebarang dendam.
“Tak baik tuduh saya begitu. Kalau betul saya pengikis, sekarang ini saya dah kaya, pakai kereta mewah, tiada hutang sewa rumah dan tak perlu pergi ‘shooting’.
“Saya tak tahu dari mana datangnya cerita ini kerana tak rasa ada orang yang kecewa dengan saya berdendam sampai begitu sekali.
“Seingat saya kalau hubungan tak jadi pun semuanya baik-baik. Macam Ellie Suriaty (bekas isteri), kami bercerai secara baik,” katanya dalam wawancara bersama sebuah program hiburan.
Duda berusia 56 tahun itu berharap penyebar fitnah berhenti berbuat sedemikian supaya masing-masing dapat menjalani hidup dengan tenang.
Saya harap usahlah lagi buat macam ini, saya tak usik orang pun. Kita berdamai sahaja, kita boleh jadi kawan.
“Buat apa cakap tak elok pasal saya. Pada umur saya 56 tahun ini, ramai kawan sebaya sudah ‘pergi’. Jadi saya nak tumpukan kepada perkara menginsafkan,” ujarnya.
Pada masa sama, bekas suami kepada aktres Ellie Suriaty itu mendedahkan pendapatannya terjejas berikutan kurang tawaran berlakon.
“Saya bukan cerewet dalam memilih watak atau naskhah, sebaliknya ada projek yang diajukan hanya bermula pada bulan hadapan.
Ada terima tawaran berlakon, tapi bukan waktu sekarang sebab ditunda mungkin bukan rezeki saya, sebab itu sewa rumah pun tertangguh, tapi tak bolehlah cakap berapa bulan, itu peribadi.
“Kereta pula tiada tunggakan sebab dulu beli tunai, cuma risau susahkan tuan rumah dan dalam keadaan sekarang, tawaran kecil pun saya terima,” ujarnya.
Ditanya apa perkembangan hubungannya dengan wanita bernama Dr. Azra Diera, kata Azri netizen sudah muak dia bercerita mengenai individu terbabit yang membuatkannya enggan lagi membuka mulut mengenai perkara itu. – HIBGLAM