Jom raikan ‘hari lompat’ 29 Februari

HARI ini 29 Februari, menandakan kita sedang berada pada ‘hari lompat’ (leap day).

Uniknya, tarikh yang muncul empat tahun sekali itu memberikan tambahan masa 24 jam dalam kalender tahun ini.

Fenomena ini berlaku kerana orbit Bumi mengambil masa kira-kira 365.25 hari untuk melengkapkan putaran mengelilingi matahari .

Oleh itu, hari ini sangat unik dan masyarakat di seluruh dunia memiliki cara tersendiri untuk meraikannya.

Pada minggu ini, Horizon sediakan idea-idea menarik untuk meraikan ‘hari lompat’.

Tulis surat kapsul masa

Catat apa yang berlaku pada masa kini dan melihatnya semula empat tahun kemudian. – FOTO UNSPLASH

Luang masa untuk duduk dan tulis tentang keadaan sekarang, perkara yang disyukuri serta harapan untuk masa hadapan.

Anda boleh menulisnya di dalam kertas atau hantar pada email khas yang hanya boleh dibuka pada empat tahun akan datang.

Buka semula pada 29 Februari 2028 dan lihat semula perubahan yang berlaku dalam hidup anda.

Tonton filem berkenaan ‘hari lompat’

MENONTON filem  berkaitan hari lompat atau ada kaitan dengan angka 29 serta bulan Februari. – FOTO PEXELS

Biarpun tidak banyak kisah berkenaan ‘hari lompat’, namun terdapat beberapa filem memiliki elemen berkisar pada tarikh tersebut.

Antaranya, filem Barat iaitu Leap Year (2010), 29th Street (1991) serta The Pirates! Band of Misfits (2012).

Selain itu, boleh tonton filem Singapura, The Leap Years (2008), filem Korea Selatan, February 29 (2006) dan filem tempatan, 29 Februari (2012).

Lakukan aktiviti berkaitan nombor 29

Nikmati hari istimewa ini dengan membeli 29 kuntum bunga. – FOTO PEXELS

Lakukan aktiviti yang lebih kreatif dan menyeronokkan berkaitan dengan nombor 29.

Antaranya, menderma RM29 kepada badan-badan kebajikan, beli 29 kuntum bunga atau cuba makan di kedai yang memiliki nombor 29.

Aktiviti sebegini mampu menjadikan hari tambahan tersebut lebih bermakna dan sentiasa diingati.

Manfaatkan promosi pada ‘hari lompat’

 

Jangan lepaskan peluang menikmati harga promosi yang ditawarkan  pada  hari ini. – FOTO PEXELS

Sering kali, syarikat-syarikat komersial akan melakukan promosi khas sempena hari-hari penting.

Pastikan anda tidak melepaskan peluang memanfaatkan promosi yang ada untuk penjimatan berganda.

Anda boleh memeriksa promosi-promosi yang ada di laman media sosial atau berjalan-jalan di pusat beli-belah.

Manjakan diri dengan ‘me time’

Tahun ini memiliki satu hari bonus berbanding jumlah hari bagi tiga tahun sebelumnya.

Oleh itu, tidak salah sekiranya anda gunakan hari tersebut untuk berehat atau memanjakan diri.

Anda boleh mendapatkan rawatan spa dan salon atau sekadar tidur berehat di rumah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok