Ibu Shila Amzah rindu anak-anak, kongsi gambar waktu kecil

SELEPAS melalui ‘drama’ keluarga penuh berliku tahun lalu, ibu penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila memuat naik foto empat orang anaknya sewaktu mereka masih kanak-kanak.

Fauziah menerusi beberapa hantaran InstaStory memuat naik lima keping foto empat anaknya iaitu Shila, Syafiq Amzah, Syahir Amzah dan Syada Amzah.

Dia turut menggunakan lagu Denganmu Aku Hidup nyanyian Opick dan Sampai Aku Menutup Mata (Acha Septriasa).

Dia juga turut ‘tag’ setiap nama anaknya dan perkongsian tersebut diulang siar oleh Syada.

Meskipun tidak meletakkan sebarang kapsyen, foto yang dikongsikan Fauziah seakan-akan memberi bayangan bekas isteri penyanyi Datuk Nd Lala itu amat merindui empat anaknya.

Terdahulu, kemelut membabitkan keluarga Shila mengejutkan industri seni tanah air apabila penyanyi itu dikatakan bermasam muka dengan dua orang adiknya iaitu Syafiq dan Syada.

Antara isu yang menjadi perdebatan ahli keluarga tersebut adalah apabila Syahir mendakwa Shila menghalau keluarganya keluar daripada rumah banglo didiami mereka yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Bagaimanapun, Shila menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya mengatakan dia mahu mencarikan rumah yang baharu buat keluarganya susulan banglo tersebut terlalu besar untuk didiami selain kos penyelenggaraan yang tinggi.

Fauziah sebelum ini juga pernah memuat naik hantaran seolah-olah tidak memaafkan kesalahan Shila yang dikatakan membelakangkan statusnya sebagai seorang ibu.

Kini, Syada dan Fauziah sudah berpindah dan menetap di sebuah rumah yang tidak didedahkan lokasinya.

ND Lala melafazkan cerai pada 2 Ogos 2023 di sebuah masjid, namun hanya dimaklumkan mengenai hal itu kepada Fauziah menerusi aplikasi WhatsApp pada 8 Ogos 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok