Hina pakaian tradisional Iban, Ryzal Ibrahim didenda RM10,000

PEMPENGARUH media sosial Ryzal Ibrahim didenda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara selepas didapati bersalah mempersenda busana tradisional wanita Iban ‘ngepan indu’.

Memetik laporan sebuah portal, Hakim Azreena Aziz berkata, hukuman tersebut dikenakan setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.

Suami kepada pempengaruh dan juga pelakon Maryam itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd. Fillanny Siji dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin.

Selain itu, peguam bela Firdaus Morshidi yang mewakili pemilik nama lengkap Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 31, memohon agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Namun, pihak pendakwa memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Tindakan Ryzal yang tidak menghormati pakaian tradisional kaum Iban bukan sahaja memberi kesan kepada pengadu tetapi keseluruhan masyarakat Iban.

Sebelum ini, sebanyak 27 laporan polis yang dibuat terhadap Ryzal berhubung kejadian menghina telah dikemukakan pihak pendakwaan untuk diterima pakai sebagai bahan bukti mahkamah.

Pada 27 Mei 2021, seorang pengadu membuat laporan polis dengan mendakwa bapa kepada seorang anak itu mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban menerusi laman Facebook.

Dia didakwa menyamakan busana ‘ngepan indu’ seperti ‘sementing duit syiling’ yang sepatutnya disimpan dalam poket, ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat atau kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan Iban’ sebagai langsir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok