[VIDEO] Erra Fazira akui besarkan anak perempuan sangat mencabar

PELAKON dan penyanyi jelita, Erra Fazira mengakui bukan mudah membesarkan anak perempuan yang kian menginjak usia remaja, lebih-lebih lagi dirinya berstatus ibu tunggal.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 50, ketika ditemui berkata, sebelum ini dia tidak begitu percaya tanggapan sesetengah pihak tentang cabaran membesarkan anak perempuan berbanding lelaki, namun persepsi itu berubah selepas merasainya sendiri.

“Sebagai seorang ibu yang membesarkan anak perempuan yang semakin meningkat dewasa, saya sendiri mengakui kesukarannya. Memang mencabar.

“Kalau sebelum ini saya tertanya-tanya betulkah membesarkan anak perempuan lebih susah berbanding menjaga 10 anak lelaki? Benar memang sukar,” katanya kepada HibGlam.

Ujar ibu kepada Engku Aleesya, 15, itu lagi, dia juga perlu banyak bersabar dengan perubahan emosi dan tingkah laku anak remaja.

Bagaimanapun, Erra faham keadaan tersebut adalah disebabkan proses peralihan usia yang biasa dilalui remaja perempuan dan perlu bijak menangani perkara tersebut.

“Kadang-kadang saya tidak faham tiba-tiba dia (Aleesya) jadi ‘moody’ dan bermain dengan emosi. Jadi saya perlu bersabar.

“Sebagai ibu, tipulah kalau saya tidak tertanya-tanya kenapa dia jadi begitu? Tapi itu adalah proses (peralihan usia). Bila saya tanya ibu-ibu lain, perkara itu normal bagi seorang remaja perempuan ketika mengalami fasa peningkatan usia.

“Itulah yang saya lalui sekarang. Tunggulah sehingga Aleesya lebih dewasa, masa itu nanti dia akan menjadi semakin matang,” katanya.

Ketika disoal tentang pergaulan Aleesya dengan rakan sebaya, pelakon filem Pasrah itu ketika ditemui di majlis Anugerah Telenovela baru-baru ini tidak menghalang anaknya berkawan, namun meletakkan syarat yang perlu dipatuhi.

“Saya tidak menghalang Aleesya untuk berkawan. Tapi syaratnya saya kena teman (ikut) atau mungkin berada dekat dengannya untuk memerhati.

“Memang Aleesya tidak sebebasnya dan perlu sentiasa berteman. Kalau tidak dengan saya, bapanya yang akan menemaninya,” kata Erra.

Ujar selebriti yang mendapat jolokan Primadona Alaf Baharu itu, dia bukan mengongkong kehidupan Aleesya, sebaliknya hanya mahu berhati-hati, terutama ketika membesarkan  anak perempuan dalam dunia yang terdedah dengan media sosial.

“Dengan pendedahan media sosial yang semakin terbuka, saya rasa itu adalah cara terbaik yang boleh saya buat untuk Aleesya.

“Jadi salah seorang kena teman dia. Mungkin sebab saya anak seorang sahaja. Kalau ada anak yang ramai, adik-beradik boleh menemaninya,” ujar Erra.

Walaupun pergaulan Aleesya dikawal, Erra bersyukur anaknya itu  tidak pernah memberontak atau menganggap dirinya dikongkong.

“Setakat ini Aleesya tidak pernah lagi memberontak atau anggap dirinya dikongkong. Lagi pun saya ada meletakkan peraturan dan syarat. Kalau nak keluar dengan kawan-kawan, saya perlu ada berhampiran dengannya.

“Saya pun tidak mahu terlalu mengongkong anak. Kalau dia nak tengok wayang, boleh tapi kalau dengan lelaki ‘no’ (tidak). Saya letakkan syarat begitu,” katanya.

Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 2003 namun bercerai tiga tahun kemudian. Perkahwinan yang dibina bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.

Erra berkahwin buat kali kedua dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Bahtera rumah tangga yang dibina bagaimanapun tidak kekal lama apabila mereka bercerai selepas tujuh tahun hidup bersama. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok