PELAKON Datin Elvina Mohamad mengalami beberapa gangguan mistik seperti ‘ditindih’ makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
Dedah Elvina atau pemilik nama lengkap Norzalina Mohamad, 29, itu, dia juga mengalami masalah sukar bernafas apabila kejadian misteri tersebut berlaku.
“Saya memang penakut dan memang menjaga tingkah laku ketika berada di set penggambaran dan membaca ayat suci al-Quran tetapi tetap kena juga.
“Sepanjang menjalani penggambaran, saya banyak kali rasa seperti kena tindih. Balik ke rumah setiap kali tidur saja mesti kena dan buatkan saya sampai tak boleh bernafas, perkara tersebut terjadi ketika di siang hari juga.
“Bukan itu sahaja, saya juga seakan nampak bayangan berwarna hitam, tidaklah jelas tetapi memang menakutkan,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya alasan menerima naskhah seram itu meskipun mengetahui diri seorang penakut, ibu kepada dua cahaya mata itu sekadar ingin mencabar kebolehan lakonannya dalam karya genre sedemikian.
“Sebelum ini saya ada saja terima tawaran untuk berlakon filem seram tapi tak pernah saya terima, saya takut, memang akan fikir banyak benda.
“Tapi untuk filem Waruga ini, jalan ceritanya yang sangat menarik serta gandingan pelakon yang hebat membuatkan saya tertarik untuk terima tawaran tersebut, lagi pula sampai bila mahu duduk dalam zon selesa.
“Mencari kepuasan sebagai seorang pelakon, saya mahu cabar diri saya berlakon dalam filem seram memandangkan saya sebelum ini seorang yang penakut,” katanya pada malam gala filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, semalam.
Filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam merupakan filem seram arahan Azaromi Ghozali yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 Februari ini.
Selain Datin Elvina Mohamad, naskhah penuh kejutan itu turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Zahiril Adzim, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ruminah Sidek dan ramai lagi. – HIBGLAM