PENYANYI terkenal Britain, Ed Sheeran memberi pengajaran berguna bahawa bahawa masa itu emas pada konsert jelajahnya, + − = ÷ × (The Mathematics Tour) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.
Tepat pukul 9 malam tanpa berlewah-lewah, Sheeran atau nama sebenarnya, Edward Christopher Sheeran, 33, melantunkan lebih 20 seleksi lagu popularnya dipetik daripada album-album studio yang menjadi inspirasi kepada para peminat seluruh dunia.
Tidak seperti penyanyi antarabangsa lain dan penyanyi tempatan yang kadang-kadang membuatkan peminat tertunggu-tunggu, Sheeran membuktikan ketepatan masa itu adalah satu perkara yang penting.
“Apa khabar semua? Terima kasih kerana merempuh kesesakan lalu lintas, bersesak naik kereta api untuk sama-sama menikmati malam ini dengan saya,” ujar Sheeran usai menyanyikan lagu pembukaan, Tides yang dipetik daripada album kelimanya, = (Equals).
Biarpun tidak mampu menandingi jumlah penonton yang menghadiri konsert Coldplay iaitu lebih 81,000 orang November tahun lalu, Sheeran tetap memberikan persembahan terbaik dari segi listrik vokal, kawalan pentas, petikan gitar dan perihal penting kemenjadian sesebuah konsert mega.
Antara mencuri tumpuan adalah pentas yang berpusing 360 darjah di tengah-tengah SNBJ. Sekali pandang seperti cakera padat berpusing atau meja pusing di kenduri.
Selama lebih dua jam persembahan, lelaki kelahiran Halifax, West Yorkshire, England itu bermain muzik tanpa henti dan sekali sekala berkomunikasi dengan ribuan penonton yang hadir pada malam konsert.
Ini kali kedua saya buat persembahan di sini (SNBJ) dan saya memang sangat seronok dapat beraksi sekali lagi. Terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya.
Antara lagu hit yang didendangkan Sheeran termasuklah The A Team, Thinking out Loud, Photograph, Perfect, Shape of You dan menutup persembahan dengan bunga api di langit menerusi lagu Bad Habits.
Konsert jelajah + − = ÷ × anjuran AEG Presents dan PR Worldwide itu sebelum ini mendapat tentangan daripada fanatik bola sepak yang cakna dengan keadaan rumput di SNBJ.
Selain itu, terdapat sebilangan golongan alim ulama yang menentang keras penganjuran konsert Ed Sheeran dan menganggapnya tidak menghormati kedatangan bulan Ramadan. – HIBGLAM