MUAK dengan sepak terajang dan kehidupan penuh drama sebagai anak seni, pelakon Choi Kang-hee nekad meninggalkan dunia glamor dan memulakan kehidupan baharu sebagai pemungut sampah serta tukang cuci termasuk di restoran dan rumah selebriti.
Kata aktres jelita berusia 45 tahun itu, dia tidak pernah berasa gembira dengan apa yang dilakukan sebelum ini meskipun sudah 25 tahun mencipta nama dalam industri hiburan.
“Sudah tiga tahun saya tidak berlakon. Saya beritahu keluarga mahu berhenti dan mereka setuju. Saya tukar nombor telefon dan maklumkan kepada pengurus supaya tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon.
“Saya mencuba perkara baharu selain bidang lakonan dengan menjadi tukang cuci.
“Saya juga bekerja sebagai pengutip sampah pada tengah malam. Seronok bekerja apabila tidak ramai orang berada di atas jalan,” ujarnya menerusi satu rancangan temu bual.